Naskhah Utusan Melayu 1 September 1914 yang kini dalam simpanan penulis. |
MENYINGKAP SEJARAH
UTUSAN MELAYU
SEBELUM 29 MEI 1939
Percayakah anda jika saya katakan bahawa akhbar Utusan Melayu telah lahir 30 tahun lebih awal di Singapura sebelum ia diterbitkan melalui sebuah syarikat penerbitan yang dikuasai oleh masyarakat Melayu sendiri?
Yusuf Ishak bekerja keras untuk tubuhkan Utusan. |
Akhbar Utusan Melayu digerakkan
penerbitannya oleh Yusuf Ishak (orang yang kini mengisi wajah wang dolar
Singapura) pada awal tahun 1939 setelah siang dan malam dia berjalan menagih
sokongan dan simpati dari orang-orang kaya Melayu, terutamanya dari negeri
Johor, untuk membolehkan orang Melayu memiliki penerbitannya sendiri.
Akhbar menggunakan tulisan Jawi dengan
nama Utusan Melayu akhirnya lahir dengan naskhah sulungnya diterbitkan pada 29
Mei 1939.
Jabatan pengarang Utusan sejak awal
kelahirannya dipimpin oleh Abdul Rahim Kajai, nama paling terkemuka dalam sejarah
kewartawanan Melayu. Nama Kajai
juga kini mengisi ruang papan tanda sebuah jalan di Taman Tun Dr. Ismail di
Damansara, Selangor.
Abdul Rahim Kajai, Bapa Kewartawanan Dunia Melayu |
Utusan bersama Kajai dan barisan
wartawan-wartawannya merupakan tenaga penting
mencorak minda masyarakat Melayu sebelum merdeka, masyarakat yang
lazimnya tunduk dan menjadi pesuruh kepada ‘Tuan Inggeris’ mereka, supaya bangkit
mengenal diri sebenar mereka sebagai pemilik asal bumi Semenanjung.
Peranan sebuah media di dalam sesebuah
masyarakat adalah demikian penting. Media
menjadi pelantar untuk masyarakat mengumpul pelbagai maklumat berhubung
ehwal semasa dan persekitaran mereka, maklumat yang kemudiannya mencetus sikap
serta semangat masyarakat berubah dari dari negatif kepada positif, dari malas
kepada rajin, dari kumpulan yang pasif berubah kepada masyarakat yang penuh
aktif dan agresif.
Melan Abdullah di antara tokoh terkemuka Utusan Melayu |
Demikianlah sketsa ringkas di antara
sumbangan media seperti Utusan Melayu sendiri kepada masyarakat Melayu di zaman
awal 18 tahun sebelum Tanah Melayu bebas dari rantai penjajah, seterusnya
setelah negara mencapai kemerdekaan, kemudiannya merangkak, perlahan-lahan, berjalan
dan akhirnya mampu berdepan dengan masyarakat dunia seperti sekarang.
Sesungguhnya Melayu hari ini yang
semakin kukuh dan perkasa, adalah Melayu yang dahulu yang telah menempuh
pelbagai pahit maung dan rintangan, angkatan yang telah berjaya melalui sejuta
satu cabaran dan persaingan di bumi mereka sendiri atau yang di luar sana.
Dan Utusan Melayu itu sebenarnya media
rasmi Melayu pertama yang diterbitkan dalam bentuk sebuah akhbar, bukan mulai
1939, tetapi mulai tahun 1908 lagi, iaitu 31 tahun lebih awal dari apa yang
dicatatkan sebelum ini.
Naskhah awal akhbar Utusan Melayu ini
dalam penerbitannya bilangan 1042 bertarikh 1 September 1914 (10 Syawal 1332) menunjukan
bagaimana ia diterbitkan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis
dan Sabtu dan dijual dengan harga 10 sen senaskhah.
Wajah Yusuf Ishak kekal mengisi ruang identiti dolar Singapura. |
Ia dicetak dalam
empat halaman, tiga darinya berbahas Melayu dengan tulisan jawi, manakala satu
halaman di belakangnya dengan ‘UTUSAN MALAYU’ sebagai kepala nama akhbar,
berbahasa Melayu menggunakan tulisan rumi dengan ukuran 12 inci X 15 inci. Singapore Free Press yang dipimpin
oleh Walter Makepeace merupakan penerbit akhbar tua ini.
Bahagian belakang Utusan Melayu yang diterbitkan oleh Singapore Free Press. |
Namun Utusan Melayu yang terdahulu itu
cuma dipenuhi bahan propaganda agensi perisikan British dalam perang saraf mereka
menentang pengaruh kebangkitan kuasa Hitler dan tentera Nazi Jerman menjelang Perang
Dunia Pertama.
Meskipun ia merupakan media
propaganda, namun kehadiran Utusan Melayu di awal-awal abad ke-21 itu
membuktikan kemampun sebahagian besar dari masyarakat Melayu di dalam menulis
dan membaca, terutama di dalam menguasai tulisan Jawi sendiri, yang mendorong kepada
munculnya penerbitan dan pengedaran akhbar tersebut dulu.
NOTA:
Selaku pengendali blog ini saya mengalu-alukan sentuhan setiap pembaca di dalam menyampaikan pandangan terhadap tulisan / article di atas. Salam dari Shaharon Salleh.
1 comment:
Dan seperti yang diceritakan sendiri oleh Yusof Ishak dalam buku Utusan Melayu 10 Tahun bahawa dia dipanggil oleh sepuluh tokoh dan pemodal Melayu Singapura serta Johor pada 1938 untuk membincangkan penerbitan Utusan Melayu. Ketika itu Yusof baru berusia 27 tahun. Dan setahun kemudiannya Utusan Melayu lahir mengasak semangat dan minda progresif Melayu.
Post a Comment