Dia Terus Berkarya
KETIKA saya terkial-kial hendak mengangkat
setengah guni pasir yang beratnya tidak sampai 30 kilogram, Pak Sharif dengan
bersahaja menaikkan ke atas bahunya satu beg simen seberat 50 kilogram tanpa
perlu dibantu.
Di Penghujung Usia Tuanya
Pak Shariff menyiapkan hasil reliknya. |
Meskipun usianya sudah menjangkau lebih 64
tahun, Pak Sharif ternyata masih bertenaga, masih lagi mampu membuat
kerja-kerja berat seperti orang-orang muda lain.
Sharifuddin Jamil merupakan seorang seniman
tulin yang kehebatannya demikian tersembunyi. Namanya langsung tidak dikenali
masyarakat umum. Cuma beberapa kerat sahaja dari kalangan arkitek di Kuala
Lumpur dan sebilangan kecil kontraktor yang serta klien yang tahu berhubung
kehebatan Pak Sharif di dalam kerja-kerja seni lukis relik.
Dia membuat sentuhan terakhir terhadap hasil tiga keping relik yang sedang disiapkannya untuk seorang pelanggan di Ampang Jaya minggu lepas. |
Demikian menarik lakaran relik tiga dimensi yang dihasilkan seniman tua Sharifuddin Jamil. |
Ketika pelukis-pelukis biasa melontarkan idea
masing-masing pada kanvas atau kertas, Pak Sharif cuma berbekal sudu-sudu
kecil melarikan tangannya pada simen lembut di atas kepingan batu untuk
melakarkan sesuatu lukisan relik yang sudah sekian lama tersimpan di dalam
ingatannya.
Lukisan reliknya dalam bentuk dua atau tiga
dimensi. Hutan dan rimba, pepohon dengan rimbunan daun tebal, banjaran bukit
bukau dan air terjun yang mangalir dari puncak gunung dicoretnya demikian
menarik. Tangan dan jejarinya sudah terlalu mesra dengan adunan simen dan pasir
halus yang menjadi bahan utama lukisannya.
Sebuah taman kecil dihiasi dengan pondok berukiran batu serta kolam ikan yang demikian menarik menjadi hiasan di bahagian depan rumah Pak Sharif fi Jalan 5, Ampang Jaya, Selangor. |
Burung-burung yang berkawan dan mengawan
menjadi bahan-bahan yang sering dipaparkannya di dalam relik-relik yang kerap disiapkannya.
Masyarakat umum tidak mengenalinya. Namun dia
merupakan tenaga di belakang tabir yang
bertanggungjawab menyiapkan sebahagian
besar daripada kerja-kerja relik dan ukiran-ukiran batu yang menghiasi Taman
Burung Kuala Lumpur.
Lukisan reliks sebuah pasu bunga karya Pak Sharif. |
Lukisan relik demikian menarik yang menghiasi
dinding besar di pintu masuk Hotel Istana di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur
juga merupakan hasil kerja tangan seniman tua ini.
Dan setiap pengunjung yang pernah bertandang
di Cherating Villa dekat Kuantan juga pasti akan tertarik dengan hiasan mural
dan ukiran batu batan yang memenuhi ruangan taman di hotel berkenaan, ukiran
yang dihasilkan oleh Pak Sharif dan pembantu-pembantunya.
Ukiran bunga berkembang karya Pak Sharif. |
Kemahirannya di dalam seni relik terpancar
sejak 45 tahun lepas ketika dia bertugas sebagai pembantu kepada sekumpulan
pelukis dan pengukir-pengukir mahir Indonesia menyiapkan kerja pengindahan ibu
kota Jakarta.
Dan kini sambil bantu menjaga sembilan cucunya
di kediamannya di Jalan 5, Ampang Jaya, Selangor, Pak Sharif masih tidak duduk
diam. Hampir setiap hari dia akan membancuh adunan simen dan pasir, memainkan
sudu dan sudip-sudip kecilnya melakarkan sesuatu untuk hiasan taman kecil di
depan rumahnya.
Jangan lupa singgah sebentar ke teratak Pak
Sharif di Ampang Jaya untuk melihat sendiri pelbagai ukiran relik menarik yang
dihasilkan oleh seniman tua ini.
No comments:
Post a Comment