Dalam ketika seorang pengembara
menyeberang dari pulau ke pulau, menjelajah gua dan gunung ganang, menelusuri
teluk dan pantai di daerah yang amat luas ini, ia kemudian dikejutkan bahawa
beberapa desa terpencil di sepanjang pesisiran pantai barat berhampiran Banda
Aceh sendiri menyediakan keindahan demikian menakjubkan.
Kegembiraan anak-anak Desa Layeun memancing ikan di atas batu. |
Bot-bot nelayan Layeun menghiasi di persekitaran penuh indah. |
Kami singgah di Layeun (bunyi
sebeneranya ‘Lion’ mengikut sebutan Inggeris) petang ini. Ia sebuah desa dihuni
lebih 40 keluarga nelayan di kilometer 27 jalan Banda Aceh – Meulaboh.
Meski ia terletak di pinggir jalan dan
terdedah menghadap lautan lepas, namun Layeun sebenarnya tersembunyi oleh jalan
masuk yang menurun sempit; cuma dibarisi oleh pondok dan rumah-rumah nelayan
serba dhaif. Lalunya ia hampir tertutup dari dunia luar, malah hampir tidak
disedari oleh sebahagian besar dari masyarakat Banda Aceh sendiri.
Bot-bot nelayan tersadai lesu di
tengah teluk luas dan di bibir pantai bila Layeun kami kunjungi petang ini.
Nelayan tidak turun ke laut malam ini kerana malam ini adalah malam Jumaat.
Memang menjadi tradisi nelayan seluruh Aceh sejak hampir 800 tahun dahulu
bahawa tidak ada seorangpun di antara nelayan yang harus turun ke laut pada
setiap malam atau hari Jumaat.
Pondok-pondok kecil di puncak bukit penghujung pantai Layeun. |
Dari puncak bukit di Desa Layeun dengan pemandangan penuh menggamit perasaan pengunjung. Ia tersembunyi dari pengetahun sebahagian besar masyarakat Banda Aceh dan dunia sendiri. |
Keriangan jelas tergambar pada wajah anak-anak nelayan Aceh meskipun penderitaan hidup masih mengikat wilayah ini. |
Lima gerai peniaga ikan dan sotong
kering membarisi pinggir jalan besar yang menjadi kawasan belakang desa nelayan
ini.
Tidak jauh dari pintu masuknya kami
melihat seorang nelayan muda sedang membaiki bot kecilnya yang cuma mampu
digunakan untuk mencari rezeki di perairan berhampiran pantai.
Layeun terletak di suatu sudut teluk
luas Kecamatan Lepung dengan persekitaran dan latar belakang banjaran gunung
ganang demikian mempesonakan. Dari pantai kami melihat kabus putih tebal
menghiasi banjaran gunung di belakang Layeun.
Bersantai sambil menghjirup kopi di persekitaran penuh mengasyikkan. |
Jauh di hujung bekas bongkahan batu
yang menjulur 15 meter ke dalam air, kami melihat kumpulan lima kanak-kanak
lelaki sedang sibuk memancing di atas batu. Apabila dihampiri kami diberitahu
bahawa mereka baru 15 minit tadi menaikkan sekor ikan kerapu seberat hampir 5
kilogram yang terus saja dijual kepada seorang penduduk tempatan dengan harga
Rp 80 ribu.
Kami tiba-tiba kehairanan melihat
wujudnya jalan bertambak tar di gigi pantai di depan dan di tempat kami berdiri
bersama anak-anak nelayan berkenaan petang itu. Seorang penduduk kemudian
memberitahu bahawa jalan bertambak tar berkenaan merupakan jalan asal yang
menyambung laluan utama Banda Aceh ke daerah-daerah selatan di pantai baratnya.
Namun ia putus dan musnah akibat pukulan gelombang keras tsunami yang melanda
Aceh dalam tragedi paling mengerikan 26 Disember 2004 dulu.
Di atas tapak jalan lama yang hancur kini akibat terjahan tsunami dalam tragedi penuh ngeri 26 Disember 2004. |
Tumbuhan semulajadi yang tumbuh di liring bukit menjadi penghias puncak Ujung Glee (Hujung Gunung) di Layeun, |
Dari pantai kami bermotosikal mendaki
bukit terletak berhampiran pantai di hujung Desa Layeun. Seorang pengusaha
tempatan telah membangunkan kawasan puncak bukit seluas 15,000 kaki persegi ini
dari kawasan batu batan dan semak samun kepada sebuah restoran dan tapak peranginan
paling intim.
Di samping sebuah restoran yang paling
sederhana, puncak yang diberi nama Çafe Ujung Glee ini disiapkan dengan tujuh
pondok kecil berukuran 7 X 7 kaki didirikan di pinggirnya. Hiasan tumbuhan liar
semulajadi di curam-curam bukit ini di samping landskap yang diatur demikian
rupa menghiasi persekitaran pucak bukit istimewa ini.
Persekitaran teluk dan laut yang luas
dibarisi dengan banjaran gunung ganang menghijau sertas dua buah pulau kecil dan
sebuah pulau yang sederhana besar, benar-benar menggamit hati setiap pengunjung
Desa Layeun untuk bersantai di sini selama mungkin.
Sambil duduk bersila menghirup kopi
panas dari pondok beratap rumbia lewat petang ini kami menikmati alam dan
suasana persekitaran Desa Layeun yang demikian syahdu, menakjubkan.
Langit jelas suram ketika sang matahari merangkak pergi berlabuh bersama malam di persekitaran teluk demikian menawan. |
Ombak kecil memukul pantai 20 meter di
bawah puncak bukit. Dan jauh di sebalik bukit di hujung sana matahari semakin
suram menukar cahayanya, kemerah-merahan, ungu dan gelap. Laungan azan serentak
itu berkemundang memecah kesepian langit Layeun.
Dan kini tiba masanya bagi alam serta makhluk
yang mengisinya untuk sujud kepada Allah yang menghadirkan semua keindahan ini.
No comments:
Post a Comment