Breaking News

Sunday, September 22, 2013

PEKAN KEBUDAYAN ACEH Ke-6


Penduduk Aceh Terus Hidupkan Budaya Berusia Seribu Tahun

Gadis dari Aceh Besar yang sarat dengan hiasan tradisi menyertai perarakan Pekan (Minggu) Kebudayaan Aceh ke-6 yang berlangsung di Banda Aceh pagi Sabtu.
 Meski kehidupan sebahagian besar penduduk Aceh di kira agak ketinggalan berbanding masyarakat di provinsi lain di Indonesia, namun di sebalik semua kesempitan yang mereka lalui, bumi bergelar ‘Serambi Mekah’ ini tetap meriah setiap kali Pekan Kebudayaan Aceh (PKA) dilangsungkan.

Aceh kaya dengan khazanah budaya demikian menarik, budaya yang hidup sejak seribu tahun lampau hasil warisan nenek moyang masyarakatnya  yang terus hadir dan dikekalkan sehingga ke hari ini.

Masyarakat besar Aceh terbentuk hasil pertumbuhan penduduknya yang mewakili pelbagai suku kaum melalui tempoh begitu panjang, memakan tempoh lebih seribu tahun yang dulu.

Perserta dari Universiti Syah Kuala, Banda Aceh, memperagakan pakaian ulta-modern
 Aceh diwakili pelbagai darah keturunan dari Arab, Turki, Pakistan, India, Keling, Belanda, Siam, Kemboja, suku-suku Melayu, Batak, penduduk asli tempatan dan membawa kepada beberapa suku kaum yang lain.

Adat resam masyarakatnya yang diwarisi sejak zaman lampau masih lagi hidup di sini, berbaur antara tradisi bercirikan Islam dengan beberapa adat lama.

Di bumi Nanggroe Aceh Darussalam ini adat ‘tepung tawarnya’ masih hidup dan kekal. Pertujukan kebal ‘debus’ juga masih bernyawa. Ciri pakaian adat, terutamanya pakaian pengantin, tetap menjadi pusaka yang sangat dibanggakan oleh masyarakat di seluruh Aceh sehingga sekarang.

Pemuda dari Nagan Raya, memperagakan pakaian tradidi suku Kluet, salah satu penduduk asli Aceh
 PKA ke-6 yang dijadual berlangsung selama seminggu di Banda Aceh dilancarkan sendiri oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Taman Sari Safiatuddin, Banda Aceh pagi semalam.

Pagi tadi minggu budaya itu diteruskan dengan perarakan kereta berhias dan kumpulan-kumpulan budaya yang mewakili masyarakat dari semua daerah di Aceh yang keluar berarak dengan memperagakan pakaian berwarna warni.

Sirih junjungyang direka demikian indah dan rapi menjadi hiasan yang menarik perhatian ramai di PKA pagi semalam.
Perarakan dan pameran kebudayaan yang berlangsung sekali setiap empat tahun itu membawa ribuan penduduk dari seluruh Aceh bertandang ke Banda Aceh untuk memeriahkan budaya mereka. Dan jika anda mahu melihat dari dekat masyarakat Aceh, lalu pada hari-hari pameran inilah anda harus bertandang ke Banda Aceh kerana penduduk dari seluruh daerahnya akan berkumpul di sini.

Perarakan pagi tadi dimeriahkan dengan kebanjiran wanita-wanita dan pemuda-pemuda Aceh dari semua ceruk rantaunya dengan pakaian berwarna-warni dan hiasan pelbagai rupa yang demikian menawan.

Hiasan kerawang menutup kepala dan baju penuh bersulam seperti ini cuma boleh disaksikan dan dipakai oleh pengantin Melayu di Malaysia 50 atau 60 tahun dulu. Namun di Aceh ia menjadi pakaian pengantin yang sangat dibanggakan oleh masyarakat di sini sehingga hari ini.
 Golongan dewasa yang sudah melangkah usia 50 tahun ke atas juga turut sama menyertai perarakan. Ia sememangnya hidup, amat menarik.

Saya sempat menyaksikan sekumpulan peserta yang sudah berusia penuh gembira mempersembahkan tarian zapin sambil diberi tepukan meriah oleh orang ramai yang memenuhi sepanjang jalan.


Pakaian ultra-modern diperagakan oleh seorang peserta dari Banda Aceh.
 Satu kumpulan dari Aceh Selatan pula memperagakan pertunjukan ‘debus’ seni tikaman kebal yang dilakukan sendiri dua remaja di bawah usia 15 tahun dan seorang kanak-kanak lain berusia lapan tahun.

Saya terpegun menyaksikan keberanian anak-anak remaja ini bertalu-talu menghunus senjata tajam ke tubuh mereka, namun kulit dan tubuh mereka tidak mampan dengan tikaman-tikaman itu.

Belakang tangan dihias dengan warna dan lukisan bunga bercampur daun. Gadis Aceh dengan pakaian istimewa di perarakan PKA Ke-6
Anda boleh menyaksikan klip video tarian zapin dan pertujukan ‘debus’ ini melalui facebook Haron Salleh.

Sayangnya, meski PKA demikian istimewa dan sangat meriah, cuma sekerat dua saja pelancong luar yang secara kebetulan berada di Banda Aceh dapat menyaksikan perarakan dan PKA ini.
Salah satu tarikan ramai di perarakan PKA ke-6: Gadis yang cuma berhias dengan potongan kertas surat khabar.
 Mungkin ada sesuatu yang terbelit dan tersangkut di kantor pelancongan provinsi Aceh menyebabkan pelancong luar dan dunia tidak mengetahui atau menerima maklumat berhubung minggu budaya yang istimewa ini.

No comments:

Designed By