Breaking News

Wednesday, January 25, 2012

BEKAS PANGLIMA GAM SERTAI PILIHANRAYA ACEH


LIKU-LIKU menuju Pilkada Aceh, pilihanraya untuk merebut kerusi Gabenur dan timbalannya serta pemilihan 13 jawatan Bupati dan empat Wali Kota di wilayah Aceh tahun ini dlilihat demikian sensasi dan mendebarkan.
ZAINI ABDULLAH, bekas menteri GAM yang bertanggungjawab merintis dan merundingkan MOU perdamaian Aceh 15 Ogos 2005
Pemerhati-pemerhati politik tempatan dan seluruh Indonesia, khususnya rakyat Aceh sendiri, sejak empat bulan lalu sehingga Jumaat 20 Januari lepas demikian bercelaru, buntu memikirkan kemelut yang mengambil tempat.
Kemelutnya ialah: Apakah permainan politik Partai Aceh (PA), parti yang diasaskan dan didokong oleh bekas-bekas pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM), apabila mereka tidak mengemukakan sebarang calon untuk menyertai pilihanraya ini sehingga tarikh pencalonan ditutup dua bulan lepas?
Beberapa insiden mengejut berlaku di Aceh sepanjang tiga bulan lepas sebaik sahaja penamaan calon bermula.
Ia bermula dengan kejadian penembakan di Lhokseumawe, pembunuhan (juga dengan tembakan) di Ule Kareng, Banda Aceh, diikuti pembunuhan empat warga dari Pulau Jawa di Pidie pada 1 Januari lalu.
Ini tidak termasuk beberapa lagi insiden terpencil yang berlaku di Aceh Utara, Aceh Timur dan di Aceh Barat Daya.
Namun semua kecelaruan dan tandatanya mengenai ‘politik berdiam diri’ Partai Aceh ini terjawab lima hari lalu apabila mereka menghantar calon-calon menyertai pilihanraya 9 April depan.
Pilihanraya peringkat provinsi ini pada awalnya dijadual berlansung November lepas. Namun ia terpaksa ditunda ekoran ancaman PA untuk memulaukan pilihanraya itu setelah Mahkamah Konstitusi sebelumnya membenarkan calon bebas menyertai pertandingan.
Mahkamah Konstitusi Indonesia membuat keputusan mengejut melanjutkan tarikh tutup penamaan calon Pilkada Aceh sehingga 24 Januari, dua bulan dari tarikh asalnya, setelah mendapati Partai Aceh tidak mengemukakan sebarang calon untuk bertanding.
Perlanjutan tarikh itu dikira sebagai suatu inisiatif dan diplomasi paling cermat dari Jakarta ke arah mempastikan keamanan berkekalan di Aceh terus dipertahankan.
PA menamakan Zaini Abdullah untuk merebut kerusi Gabenor. Zaini merupakan salah seorang tokoh terpenting yang bertanggungjawab merintis rundingan perdamaian Aceh dan Memorandum Persefahaman (MOU) Helsinki yang membolehkan Aceh mendapat kuasa autonomi 15 Ogos 2005.
Zaini memakai status sebagai ‘Menteri Luar’ di zaman konflik, zaman Aceh memperjuangkan dan merebut status autonomi dari Jakarta dulu sehingga terwujudnya perdamaian kemudiannya.
Bekas panglima tertinggi GAM yang kini selaku ketua utama PA, Muzakir Manaf, menjadi pasangan Zaini untuk merebut kerusi Timbalan Gabenor.

Muzakir, pejuang GAM yang paling dikehendaki oleh Jakarta di zaman konflik yang memakan ribuan korban di Aceh suatu ketika dulu, kini akan mempertaruhkan nasibnya.......
MUZAKIR MANAF, bekas pejuang GAM yang kini muncul untuk menguji kesetiaan rakyat Aceh.
Apakah rakyat Aceh akan benar-benar berterima kasih dan memberi penghargaan selayaknya kepada pejuang yang suatu ketika dulu pernah berkorban nyawa semata-mata untuk mempertahankan marwah rakyat Aceh dan ‘tanoh indatu’ mereka.
Laluan untuk PA menerusi Zaini dan Muzakir untuk menguasai kantor Gabenor dan Timbalan Gabenor di Banda Aceh, bagaimanapun tidak dilihat mudah pada pilihanraya ini.
Mereka akan berdepan dengan empat pasangan lain, termasuk gabenor sekarang, Irwandi Yusof, yang akan mempertahankan kerusinya melalui tiket sebagai calon bebas.
Irwandi memenangi kerusi Gabenor pada pilihanraya 2006 dulu atas tiket PA. Bagaimanapun kegagalan Irwandi memperjuangkan pelaksanaan setiap perkara yang terkandung dan dituntut di bawah MOU 2005, telah mendorong PA mengenepikan gabenor itu kali ini.
Meskipun PA menyimpan keyakinan tinggi akan menyapu bersih semua kerusi yang dipertandingkan, termasuk jawatan Gabenor dan Timbalan Gabenor, namun realiti sebenar selera dan hatibudi raykat Aceh cuma akan diketahui 9 April nanti.

No comments:

Designed By