Breaking News

Friday, May 14, 2010

SANG BUPATI YANG LUCU

Peraturan keras Bupati Husin Yusuf melarang semua kakitangan dan pegawai lelaki Kabupaten Aceh Selatan dari menyimpan janggut dua hari lepas, meledakkan bantahan keras masyarakat di seluruh Indonesia.

Dalam amaran penuh kontroversi itu Bupati Husin berkata, mana-mana pegawai negeri yang barjanggut tidak dibenarkan masuk pejabat, kerana “Ini bukan negara Iran, tapi Indonesia.”


FOTO: Bupati Husin Yusuf terpaksa ditenangkan oleh pihak keselamatan setelah dia marah membuang bajunya sebagai tanda protes terhadap pihak penganjur yang gagal membawa Presiden Susilo Bambang Yudhoyono singgah ke gerai pameran Aceh Selatan.

Peristiwa ledakan kemarahan Bupati Husin ini tercetus di Minggu Budaya Aceh ke IV yang berlansung di Banda Aceh awal Ogos 2009 dulu.

Semua media cetak dan laman-laman portal di seluruh Indonesia, dari Sabang di utara Aceh hingga ke Marauke di timur Maluku, menampilkan berita pelarangan ‘menyimpan janggut’ oleh bupati keras ini, sebagai bahan paling sensasi yang sekaligus mencetus reaksi panas pelbagai pihak.

Tak cukup dengan tokoh-tokoh ulama, persatuan mahasiswa, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin-pemimpin politik, larangan ‘berjanggut’ ini turut menarik komentar dari masyarakat minoriti Kristian di Indonesia.

Siapa yang tidak mengindahkan aturan ini akan saya tindak,” tegas bupati itu
ketika menyerahkan surat perlantikan pegawai-pegawai baru negeri di Tapak Tuan, Meulaboh, baru-baru ini.

Barisan alim ulama di Provinsi Aceh mengecam peraturan baru yang diperkenalkan oleh bupati Aceh Selatan itu kerana bagi mereka, ia adalah secara jelas bertentangan dengan sunnah Nabi Sallahu-Alaihiwassalam yang menggalakan lelaki Islam menyimpan janggut.

Ulama terkemuka Aceh, Sheikh Amran Waly, mahukan Bupati Husin menarik balik arahannya itu serta segera bertaubat.

Ketua Umum Pengurus Wilayah Dewan Dakwah Islamiah Indonesia, Tengku Hasanuddin Yusuf Adan pula menganggap arahan bupati itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana tidak ada satu pun peraturan terhadap pegawai negeri di Indonesia ataupun masyarakat yang melarang kaum lelaki memelihara janggut.

Mungkinkah arahan aneh dan lucu oleh Bupati Husin ini diperkenalkan kerana tidak mahu pegawai-pegawai Aceh Selatan yang berjanggut nanti akan diburu dan dihujani peluru oleh pihak berkuasa keselamatan, lantaran mengesyaki mereka sebagai ‘gembong-gembong’ teroris?

Hal ini sememangnya menjadi suatu tandatanya besar kerana sebahagian dari kumpulan lebih 20 lelaki yang dibunuh dalam operasi pejuang jihad di Aceh Besar Februari lepas, merupakan lelaki berjanggut.

Sehingga semalam pun tiga lelaki, yang dilabelkan sebagai ‘teroris’, diberkas oleh pasokan penggempur khas militer Indonesia (Densus 88) dalam operasi khas di Solo, Jawa Tengah.

No comments:

Designed By