Breaking News

Sunday, May 9, 2010

MABUK DIGEGAR GEMPA BUMI

MESKI sudah lebih satu jam ia berlalu, namun tubuh masih lagi terasa berbuai, terhoyong hayang, sepertikan orang yang kemabukan laut setelah sehari dibuai gelombang. Demikian hebatnya kesan yang saya alami apabila melalui goncangan gempa bumi selama tiga minit di Banda Aceh tengahari ini.

Saya sedang menatap monitor komputer tepat jam 1.00 siang tadi apabila kamar yang diduduki tiba-tiba saja bergegar kuat.

FOTO: Suara hati seorang pelukis Aceh yang menggambarkan tragedi ngeri penuh dahsyat apabila tsunami melanggar dan menggulung bumi Aceh dalam bencana mengerikan 26 Disember 2004.

Lukisan ini dan banyak lagi yang lain boleh disaksikan di Muzium Tsunami Banda Aceh.

Masih dengan kain pelekat dan berbaju Melayu Teluk Belanga (pakaian kasual hari minggu), saya berlari keluar. Dalam keadaan terperanjat saya lantas memegang tiang besar dilantai satu, bimbang kalau-kalau tubuh tergolek ke atas lantai lantaran gegaran yang kuat ini.

"Ayuh anak-anak semua. Segera turun," jerit saya sekuat suara yang boleh kepada kumpulan 11 pelajar lelaki yang berehat di kamar-kamar mereka tengahari ini. Tak ramai yang berada di asrama hari ini kerana sebahagian yang lain telahpun pulang ke rumah keluarga masing-masing semalam.

Kami terus berkumpul di bawah di halaman besar pintu masuk asrama.

Gegaran kuat terus berlaku. Bumi Aceh benar-benar digegar dan digoncang. Selama lebih satu minit saya melihat bas sekolah kami di halaman asrama, berayun ke kiri dan ke kanan dibuai goncangan kuat yang memang mencemaskan.

Saya terpegun melihat permukaan air di parit kecil di hadapan asrama kami turut berkocak, berbuai dan berombak kecil.

Tiga pelajar, Safrizal, Mahadi dan Fahrul Razi, yang berada di pinggir sebuah kolam di belakang asrama kami ketika gempa bumi ini berlaku menceritakan bagaimana mereka melihat banyak ikan yang secara mengejut timbul dan bertempiaran lari ke permukaan air apabila gegaran terjadi tengahari itu.

Zulhelmi, pelajar darjah lima yang sedang mengayuh basikal ke asrama dari kampungnya Desa Tinkem di pinggir Banda Aceh, terjatuh ke tebing jalan bersama basikalnya akibat gegaran gempa bumi yang mengejut meledak hari ini. Dia mendapat calar-calar kecil di kaki.

Sementara itu kira-kira 100 penduduk berkumpul di sebuah kawasan lapang dekat pintu masuk menuju ke stesen TVRI Banda Aceh di Ketapang tengahari tadi, sebaik sahaja gempa bumi meletus, kerana bimbangkan kemungkinan berlakunya tsunami.

Dalam kejadian agak mengejutkan tengahari ini ledakan gempa bumi berukuran 7.2 skala Richter berlaku di pesisiran pantai barat Aceh, 60 kilometer dari kota Meulaboh.

Jabatan Geology Republik Indonesia melaporkan bahawa ledakan berlaku di kedalaman 30 kilometer dari dasar laut. Alhamdulillah, gempa kali ini tidak menghasilkan tsunami.

No comments:

Designed By