Breaking News

Tuesday, July 28, 2009

MBAH SURIP: NOSTALGIA TAK GENDONG


SEKALI mendengar suaranya anda pasti tertarik. Langsung akan bertanya siapa gerangan orang yang bernyanyi itu. Bulan lepas, tengah sedap kena sate Jawa di Banda Aceh, terdengar lagu ‘Tak Gendong’. Muziknya lembut, tapi meriah.

Dua minggu lepas bila kembali ke Banda Aceh, saya terus menghubungi seorang kawan. Wah... memang terperanjat, bunyi deringan balas telefonnya membawakan lagu yang ditanya-tanya itu.

Mbah Surip dan ‘Tak Gendong’nya sekarang dah jadi satu nostalgia baru masyarakat seluruh Indon.

Tak Gendong naynyian pendatang baru itu tiba-tiba meletop. Ia kini meniti di bibir setiap rakyat, baik dari anak yang kecil maupun kepada mereka yang telah berumur. Malah Megawati dan Prabowo sendiri terpaksa minta bantuan Mbah Surip untuk kempen pemilihan Presiden Indonesia sepanjang bulan lepas.

Penampilan dirinya sedikit lucu. Bertopi ‘seniman’ dengan rambut panjang berpintal, baju yang berbelang-belang dan segalanya............lagak seorang penyanyi reggae. Serupa dengan pemuzik reggae Jamaika, Bob Marley.

Suara Mbah Surip besar dan parau. Ketawa “hahahaaa.......nya” besar, lucu dan menarik. Senikata Tak Gendong ‘simple’ dan bersahaja. Tapi cukup memikat. Sepertikan menarik rakyat ‘Indon’ melupakan seketika keparahan ekonomi yang masih mebelit mereka.

Penyanyi yang memiliki empat cucu ini sekarang sibuk dengan jadwal persembahan yang ketat setiap hari, sepanjang bulan.

Mbah Surip, nama asalnya Urip Aryanto, kini tak parlu lagi terpersok dengan identiti ‘seniman jalanan’ yang dimilikinya tahun-tahun sebelum ini. Tak Gendong yang diciptanya telah menjulang namanya.

Dan meski bapak-bapak yang di atas itu masih tidak dapat menyelesaikan ‘demam ekonomi’ rakyat, namun Mbah Surip dan Tak Gendongnya, untuk seketika, sekurang-kurangnya dapat mengubati rawan jiwa rakyat Indonesia yang terlonta-lonta ini.
Read more ...

Monday, July 27, 2009

INDONESIA YANG SERBA ANEH



Foto kanan seekor anak lembu berkepala dua yang lahir di Aceh hampir seratus tahun lalu. Ia diawit dan kini menjadi bahan tarikan utama pengungjung Muzium Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam di Banda Aceh.

SEKALI sekala manusia dikejutkan dengan pelbagai kejadian aneh, kemunculan makhluk-makhluk ganjil dan setiap apa lagi yang di luar jangkaan pemikiran. Ia berlaku hampir di mana-mana sahaja di alaf akhir ini.

Namun, jika dilihat lebih jauh, umum akan menyederai bahawa sebahagian besar dari hal-hal yang aneh dan amat luar biasa ini kerap muncul di Indonesia. Sememangnya, dalam banyak hal, Indonesia adalah sebuah bumi yang menyimpan sejuta suatu misteri, mitos, rahsia dan penuh dengan perkara-perkara yang aneh serta menghairankan.

Ia penuh dengan dongengan ratu dan dewa. Candi tua Borobudor telah dibina pada penghujung abad ke-7 di Magelang, Jawa Tengah. Ia tenggelam bersama rimba dan pergunungan Pulau Jawa mulai kurun ke 14 ekoran pengaruh kuat Islam. Borobodur kemudiannya ditemukan kembali pada 1814 oleh Sir Stamford Raffles yang langsung bertindak membangunkannya semula.

Pengaruh Islam yang amat berkesan di Pulau Jawa telah melahirkan Wali Songo (Sembilan Wali), di tengah-tengah kekejaman kerajaan Mataram dan Majapahit, untuk menukar masyarakatnya yang sejak sekian lama menjadi abdi kepada ciri-ciri kepercayaan tahyul, dongengan dan pelbagai lagi amalan jahiliah, kepada suatu peradaban yang lebih mulia.

Meskipun memiliki jumlah rakyat demikian ramai, penuh dengan barisan hulubalang dan pendekar yang perkasa, sesak dengan dukun dan pawang ternama, namun bumi Indon tidak dapat menangkis serangan tentera Belanda yang langsung meletakkan rantau itu di bawah telapak kaki mereka untuk selama 340 tahun sejak 1602 sehingga 1942.

Karakatau tiba-tiba meledak pada 26 Ogos 1883 menghancurkan beberapa pulau di Selat Sunda dan meragut lebih 36,000 nyawa. Dan 121 tahun kemudian Indonesia sekali lagi dikejutkan pula dengan tragedi lebih dahsyat - berlakunya ledakan gempa bumi besar di pantai barat Pulau Sumatera jam 8.00 pagi 26 Disember 2004. Gempa bumi itu 15 minit berikutnya menghasilkan kemunculan 'tsunami' yang menggulung dan meratah bumi Aceh dengan gelombang raksaksa setinggi 50 meter. Indonesia terpaku menyaksikan 230,000 rakyatnya maut diragut tsunami dalam peristiwa demikian mengerikan itu.

Kemunculan hal-hal aneh lain juga terus muncul di seluruh nusantara ini masa demi masa. Pada 1915 di Aceh, seekor lembu betina telah melahirkan anak berkepala dua. Ia kemudiannya mati setelah sempat hidup selama setahun. Pihak berkuasa Belanda yang memerintah Aceh ketika itu telah mengawit anak lembu berkenaan dan mengekalkannya sebagai salah satu bahan aneh yang kini terus dipamirkan di Muzium Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam.

Keanehan yang sama berlaku di Belitar, Jawa Timur, Mac 2009. Masyarakat Belitar gempar dengan kelahiran seekor anak lembu berkepala dua. Pemiliknya, Sukardi, menamakan anak lembu itu 'Maulud; mengambil sempena kelahirannya serentak dengan hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Paling akhir berlaku baru-baru ini bila seorang ibu berusia 23 tahun dari Desa Belanta Raya di Indragiri Hilir, Riau, melahirkan seorang bayi kembar siam dengan dua kepala. Dua bulan sebelum melahirkan kandungannya, si ibu (Norhayati) bermimpi anaknya berkepala dua. Dan mimpi itu akhirnya menjadi kenyataan.

Kembar Siam ini (foto kanan) dilahirkan oleh seorang ibu muda di Indragiri, Riau. Ia belum lagi bernama, dan keadaannya dikatakan agak kritikal.

Kini para doktor di hospital Pekan Baru bertungkus lumus bekerja menyelamatkan bayi aneh itu dari jenis kembar 'dicephalus tetrabrachius twins'. Ia memiliki dua kepala, empat lengan (dua darinya kecil di antara bahu kedua-dua kepalanya) serta dua tulang belakang yang mengongsi satu rongga dada.

Dan kelmarin juga penduduk di daerah Langkahan, Aceh Utara, dikejutkan dengan cerita seekor ular sawa besar membaham seekor anak lembu. Aneh, tapi benar, bahawa ular sawa itu kini menjadi tontonan ramai apabila pihak berkuasa tempatan menangkapnya dan mengurungnya di tempat yang selamat, terselamat dari kemarahan penduduk yang mahu membunuh pemangsa berkenaan.
Read more ...

Saturday, July 25, 2009

ACEH: RUMAH TRADISIONALNYA MENAWAN


Membina sebuah rumah tradisional yang penuh dengan pelbagai ukiran unik bukan suatu yang mudah. Apalagi rumah yang hendak didirikan sebuah rumah Melayu berseni Aceh.

Kerja membina rumah tradisional Aceh memang terlalu rumit. Ia penuh dengan disiplin dari semua sudut. Bahan kayunya mestilah dari jenis yang terbaik sahaja. Lazimnya dari kayu-kayu jenis keras yang terdapat di kawasan pergunungan sahaja,

Di zaman silam, empat atau lima ratus tahun yang lampau, tukang-tukang kayu di Aceh terpaksa membanting tulang, menggunakan setiap kudrat untuk mendapatkan bahan kayu ini. Kalau tidak punya gajah, maka tenaga sang kerbau terpaksa mereka gunakan untuk mengangkut batang-batang kayu berat ini turun dari gunung.

Rumah-rumah tradisional Aceh dibina demikian rapi dan teguh sehinggakan sebuah rumah yang menggunakan bahan-bahan kayu gunungnya boleh bertahan lama sehingga dua atau tiga ratus tahun. Batang-batang kayu yang keras digunakan sebagai tiang-tiang rumah.Setiap satunya dikekalkan betuk asalnya, bulat. Yang lainnya digunakan untuk membina tangga, lantai, gelegar, rasuk, dinding, dan pelbagai lagi.

Bahagian tepi sebuah balai tradisional Aceh (kanan) kelihatan dipenuhi dengan ukiran halus dan menarik.

Sebuah rumah tua Aceh lazimnya tidak mempunyai pintu masuk di bahagian depan, belakang atau di serambinya seperti rumah-rumah Melayu lain. Sebaliknya pintu masuk ke rumah dibina pada lantai rumah, sama ada di ruang tamu atau di lantai bahagian belakang rumah. Ancaman binatang buas atau pencuri dan perompak, maka pintu masuknya sengaja dibina pada lantai rumah. Atau mungkin ia lebih bersifat simbolik: bahawa sesipa yang bertamu ke rumah mereka mestilah tunduk pada adat dan resam Aceh.

Bahagian bawah rumah yang luas dan lapang, dengan ketinggian melebihi enam kaki, dijadikan medan kreatif - membuat kerja tangan, ukir mengukir, menumbuk padi dan lain-lainnya. Dan seterusnya ia dijadikan ruang menyimpan hasil tanaman.

Sebuah rumah tradisional Aceh berusia lebih 20 tahun di Kampung Padang Tigi, Sigli, kira-kira 2 jam perjalanan dari Banda Aceh.

Atap, untuk menutup bumbung rumah, yang diperbuat dari daun rumbia pula disusun dan diikat rapi dengan setiap satu pada jarak tidak lebih 2 inci, menjadikan atap bumbung rumah tradisional ini kelihatan begitu tebal, lebih dan 7 inci. Kaedah menyusun tebal atap bumbung ini sekaligus menghalang haba panas menembusi ruang dalam rumah, seterusnya membolehkan atap rumah mereka bertahan lebih daripada 20 tahun.

Bahagian luar dan dalam rumah, khususnya di bahagian dan sudut-sudut utama, dihias dengan pelbagai ukiran menarik untuk menjadikan rumah tradisional ini benar-benar istimewa dan menawan.

Motif kelopak bunga, dedaun, kerawang dan tumbuhan menjalar menjadi pilihan utama pengukir-pengukir Aceh di dalam menambahkan seri keindahan pada seni ukiran rumah-rumah mereka.

Pandangan sebuah dapor di rumah tradisional Aceh (kanan). Periok, belanga dan kuali yang diperbuat dari tanah liat.

Ukiran yang ditebuk pada dada tingka atau pada muka ambang sudut bumbung, memberi kesegeran kepada ruang dalam rumah dengan udara dan angin sentiasa bebas masuk dan
keluar. Kayu pemanis di bibir atap serta ruang-ruang di sudut lain, juga diukir dengan motif sendiri, menyeriakan wajah sebuah kediaman untuk keluarga.

Anda tidak perlu bersusah payah atau terpaksa berkereta masuk ke kampung-kampung pedalaman untuk melihat sendiri rumah tradisional Aceh ini. Sebuah rumah tradisional Aceh berusia hempir seratus tahun kini berdiri megah di kompleks mUzium Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam, di Banda Aceh, menanti untuk anda saksikan.

Jangan lupa singgah di muzium ini bila bertandang ke Aceh nanti untuk anda saksikan sendiri keunikan rumah Melayu Aceh. Ini kerana di dalamnya dipenuhi dengan pelbagai artifak, peralatan dan bahan-bahan lama yang boleh memberi gambaran sebenar akan sejarah dan budaya Aceh itu sendiri.
Read more ...

Sunday, July 19, 2009

RINCONG TERAKHIR ACEH

Anda mungkin kepingin untuk menjadikan keris keramat RINCONG ACEH sebagai koleksi istimewa yang boleh dijadikan hiasan di dinding pameran ruang tamu kediaman. Ia demikian cantik dan amat menarik. Namun, harganya bukan sedikit. Mencecah ratusan ribu ringgit.

Senjata keramat ini, berhulukan gading gajah bersalut emas, dipercayai sebagai salah sebuah dari tiga Rincong Aceh peninggalan Sultan Iskandar Muda yang memerintah Nanggroe Aceh Darussalam antara 1606 hingga 1637. Ia kini berada di dalam simpanan seorang pewaris dari kesultanan paling masyhur dalam sejarah Aceh.

Nama RINCONG tidak dapat dipisahkan dengan Aceh dalam sejarah kebangkitan rakyat Nanggroe Darussalam ini selama lebih 700 tahun sehingga kini.

Aceh muncul sebagai pelantar bumi pertama yang membenarkan kemasukan Islam ke rantau Asia Tenggara, khususnya bagi rantau kepulauan Melayu, pada awal kurun ke 13 Masehi.

Di samping panah, lembing, tombak dan keris, RINCONG menjadi senjata terpenting pahlawan dan hulubalang Aceh ketika mempertahankan diri atau menyerang musuh.

Memang terdapat banyak kelebihan pada rincong, berbanding dengan keris yang popular digunakan sebagai senjata utama di kalangan hulubalang dan pahlawan-pahlawan Melayu atau Jawa ketika bertempur dengan musuh dalam sejarah silam.



Hulu Rincong Aceh ini terbuat dari gading gajah. Ia bersalut emas dengan ukiran yang amat menarik. Sarungnya pula dibuat dari perak dengan hulu dan hujungnya dihias dengan ukiran emas.

Rincong adalah sekali ganda lebih panjang berbanding keris. Hulunya yang berbantuk L dan agak panjang, memberi kelebihan kepada penggunanya membenam, melibas mata tajamnya dari semua arah dengan tikaman, hayunan atau radakan padu ke tubuh lawan dan tanpa mudah terlepas.

Seorang hulubalang bersenjatakan rincong mampu melibas lawannya yang datang dari semua arah sama ada ketika rincong di gunakan dengan tangan kanan atau dengan tangan kiri.

Dan lebih parah lagi ia mampu menangkis serangan serta menusuk tubuh musuhnya sekuat-kuat hati menggunakan tenaga kedua-dua belah tangan dengan senjata rincongnya.

Kehebatan rincong akhirnya telah berjaya membolehkan Aceh menawan Negeri Perak pada awal kurun ke 13 dengan menubuhkan kerajaan Gangga Negara di Beruas menerusi rajanya yang bernama Merah Silu yang kemudian bergelar Sultan Malik Ul Salih, raja pertama yang memeluk Islam dalam sejarah kesultanan Melayu.

Menurut sejarahnya, Merah Silu adalah seorang raja pemeluk agama hindu di Samudera Pasai (sekarang Lhoksumawe di Sumatera) sebelum ia memeluk Islam pada 1267 menggunakan gelaran Sultan Malik Al Salih. Baginda memerintah Pasai sehingga kemangkatannya pada 1297.

Menurut 'Hikayat Raja-Raja Pasai', Merah Silu bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. lalu kemudiannya membuang agama Hindu dan terus memeluk Islam.

Dari Samudera Pasai, yang kemudian bertukar kepada nama Aceh, Islam berkembang ke seluruh empayar Melayu, menembusi Melaka, tanah Jawa dan sehingga ke pulau-pulau di rantau Filipina di awal kurun ke 13.

Di bawah kepimpinan Sultan Iskandar Muda pada 1613 Aceh berupaya menundukkan kesultanan Johor Riau dengan menjadikan Pulau Bintan sebagi pusat pemerintahannya. Namun kekuatan Aceh di Bintan di bawah Sultan Hammat Shah terpaksa tunduk kepada asakan hulubalang-hulubalang Johor dua tahun kemudiannya yang menyebabkan raja boneka itu membina negeri baru di Pahang.

Barisan hulubalang Aceh mempertahankan Naggroe Aceh Darussalam dengan rincong untuk tempoh begitu panjang apabila bumi mereka diceroboh tentera-tentera Portugis, Belanda, Inggeris dan kemudiannya Jepun sejak kurun ke 15 hingga tahun 1945.

Meski ‘Rincong Aceh’ kini tenggelam bersama sejarahnya, namun ia terus menjadi lambang utama dan sumber semangat rakyat Aceh yang terkial-kial bangkit dan membangun setelah puluhan ribu hulubalangnya maut dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dari Jakarta selama 30 tahun sejak 1967.

Dan keris Rincong Aceh terus hilang bersama hampir 300,000 rakyatnya yang terkorban akibat amokan gelombang tsunami yang meratah bumi Aceh dalam tragedi paling ngeri dan dahsyat 26 Disember 2004 dulu.

Yang tingggal kini cuma sebilah ‘Rincong Aceh’ keris keramat bersalut emas dengan sarung bersalut perak peninggalan Sultan Iskandar Muda untuk membakar samangat rakyat Aceh supaya terus berjuang mempertahankan dan membangun bumi tercinta mereka.

Dan pemuda pewaris ‘Rincong Aceh’ terkhir ini mengucup hulu keris pusaka itu dengan penuh semangat. “Rincong Aceh ini adalah pembakar semangat kami rakyat Aceh untuk selamanya,” katanya dalam satu pertemuan di Banda Aceh baru-baru ini.

SILA bertandang ke Aceh sekiranya anda ingin menyaksikan sendiri atau ingin memiliki 'Rincong Terakhir' ini sebelum ia disambar oleh pemburu Barat yang memang terlalu berminat membawa pulang khazanah paling bernilai dari rantau Melayu.
Read more ...
Designed By