Breaking News

Tuesday, October 14, 2014

PULAU SIMEULUE: TERSEMBUNYI DI LAUTAN SEPI




Sudah sekian lama saya bertandang di Aceh. Setiap bulan, sejak lebih lima tahun lepas, saya turun naik ke Banda Aceh sambil sesekali melakukan kunjungan ke beberapa lokasi menarik dan bersejarah di Tanah Serambi Mekah ini.

Tiga minggu lepas sempat melakukan kembara ke Simeulue, sebuah pulau demikian indah dan menakjubkan terpencil bersendirian di tengah Lautan Hindi, sejauh 150km dari bandar Labuhan Haji di barat daya provinsi Aceh.

Pulau seluas 1,600 km persegi ini terlalu menawan. Simeulue memiliki khazanah keindahan semulajadi terhampar luas. Keaslian alamnya, pulau, pantai dan lautnya sungguh mengasyikkan, sepertikan tidak lagi tersentuh  oleh kemaraan arus industri pelancongan global. Ia bagaikan mutiara yang tersembunyi di lautan sepi.


Bot tradisional tersadai di muka lautan lepas dengan alam Simeulue yang demikian menawan.


Sebahagian besar nelayan di Simeulue masih bertahan dengan bot tradisional mereka – bot panjang berpalang batang buluh di sisi kanan dan kirinya sebagai pengimbang melawan gelombang. Sebahagian yang lain menggunakan bot besar untuk mencari ikan di kawasan jauh dari pulau.

Persekitaran wilayah barat daya Aceh dan Labuhan Haji diliputi mendung  petang itu ketika saya dan Tajmuddin, palajar SMP2 dari asrama Yayasan Rumah Anak Yatim Melaka - Tsunami Aceh, yang menemani saya dalam kembara dua hari ke Simeulue.

Kapal feri yang kami naiki penuh sesak dengan lebih 400 penumpang apabila ia meninggalkan dermaga Labuhan Haji jam 10 malam itu. Bahagian bawah kapal tiga tingkat ini sesak dengan lori, van, kereta dan motosikal. Di tingkat satu dan dua pula penuh dengan penumpang pelbagai golongan.


Motosikal sesak mengisi kapal penumpang yang berulang alik tiga kali seminggu antara Labuhan Haji dan Pulau Simeulu.


Saya mendapat tahu bahawa kesesakan penumpang demikian ramai malam ini disebabkan kehadiran calon-calon pemohon jawatan Pegawai Negeri Sivil (PNS) bagi seluruh provinsi Aceh di mana sesi ujian mereka dijadual berlangsung dua hari di Sinabang mulai esok.

Demikianlah gambaran suasana pekerjaan  di Aceh dan di Indonesia sendiri bahawa peluang kerja untuk rakyat atau calon yang memegang ijazah universiti pun terlalu sempit dan gelap, sehingga seribu calon akan menghantar permohonan untuk mengisi satu kekosongan.


Bangkai sebuah bot lama terdampar menghiasi pesisiran dermaga feri Labuhan Haji
Serpihan bot pecah di pantai berhampiran derma feri di Labuhan Haji, Barat Daya Aceh.


Inilah satu-satunya kapal pengangkut yang menyediakan perkhidmatan perhubungan antara Pulau Simeulue dengan tanah besar Sumatra. Perkhidmatan berulang alik antara Simeulue dengan Labuhan Haji cuma  disediakan tiga kali seminggu. Perkhidmatannya terpaksa ditangguh apabila lautan lepas di sebelah sini berhadapan dengan musim gelora dan angin kencang.

Tiket satu perjalanan dengan kapal ini dikira rendah. Cuma Rp30 ribu untuk kelas ekonomi, Rp 50 ribu kelas bisnis dan Rp75 ribu kelas VIP.


Di antara calon-calon yang mudik ke Simeulue untuk ujian jawatan pegawai negeri bagi provinsi Aceh.
Jam 7.00 pagi itu kapal yang kami naiki mula merapati Pulau Simeulue. Dingin dan indah.


Golongan mewah boleh mendapatkan perkhidmatan penerbangan pesawat ringan setiap hari menuju ke Simeulue dari lapangan terbang Iskandar Muda di Banda Aceh atau dari Medan di Sumatra Utara.

Namun, setiap penumpang terpaksa berada di dalam kapal sepanjang malam untuk perjalanan sepuluh jam sebelum sampai ke kota Sinabang. Itupun sekiranya laut tenang tanpa angin dan gelombang keras.

Setelah setengah jam berlepas dari Labuhan Haji, saya keluar menuju ke pelantar hadapan kapal untuk meninjau suasana lautan lepas sebelah sini. Langit Lautan Hindi hitam pekat malam ini, tanpa bulan, tanpa bintang. Sesekali hujan renyai menerpa bersama angin sederhana keras.

Dan malam dingin ini saya memaksa diri untuk melelapkan mata di barisan kerusi-kerusi yang sesak dengan penumpang ini kerana Simeulu masih jauh di depan sana.


Bersama Pak Muhammad Ali, pegawai pendidikan di Kabupaten Simeulue, ketika kapal kami sudah memasuki perairan pulau indah ini dan merapati dermaga kota Sinabang, pusat bandar utama pulau yang mempunyai 80 ribu penduduk ini.



Data Maklumat Pulau Simeulue
Kabupaten
Simeulue
Keluasan           :
# 1600km persegi
Pusat Bandar    :
Sinabang (150km dari Labuhan Haji)
Penduduk
80,000 orang
Pelajar sekolah
15,000orang
Penghidupan
Petani, penternak, nelayan
Hasil ekonomi
Kelapa, kelapa sawit, cengkih, pala
Hasil laut           :
Ikan, udang, lobster




No comments:

Designed By