Breaking News

Tuesday, October 28, 2014

MENARA KEMBAR PETRONAS: KEUNGGULAN TAMADDUN MELAYU



Bagi warga Kuala Lumpur, Menara Kembar Petronas cuma berdiri sebagai mercutanda biasa yang tidak perlu diperhatikan lagi. Namun bagi pengunjung luar, terutama pelancong-pelancong antarabangsa sendiri, Kuala Lumpur City Centre ini punya tarikan yang sangat luar biasa. Tidak sah kunjungan pelancong ini ke KL sekiranya potret KLCC tidak diabadikan bersama mereka.

KLCC memang memiliki daya tarik tersendiri. Rekabentuknya demikian unik. Cahayanya terpancar dari jauh. Ia berdiri megah dikelilingi menara-menara lain yang sama-sama berseri di tengah-tengah pusat Bandaraya Kuala Lumpur.
Tiga teman dari Banda Aceh ketika berkunjung ke Menara Kembar Petronas di Kuala Lumpur Sabtu 25 Okt lepas. Dari Kiri Sdr Drs Ibrahim, Penulis Shaharon Salleh, Fauzi Hasyim dan Bpk Hj Nordin Joes.
Saudara Ibrahim, seorang eksekutif filem dokumentari dari TVRI Aceh, terpegun agak lama menyaksikan KLCC apabila menyaksikan menara kembar ini berdiri gagah di hadapannya ketika kunjungan pertamanya ke Kuala Lumpur Sabtu lalu.


Semua kota-kota besar di seluruh Indonesia telah dikunjunginya. Banyak monumen dan bangunan-bangun tinggi pelbagai bentuk telah dilihatnya. Namun Menara Kembar Petronas, yang selama enam tahun memegang rekod sebagai menara tertinggi di dunia sejak 1998, bagi Ibrahim secara umumnya menjadi kebanggaan nusantara.

Barisan pelancong dari China berderet berjalanan menuju ke Menara Kembar Petronas pagi Sabtu 1Muharram lepas.
Sdr Drs Ibrahim bersama Blogger Shaharon Salleh


Bagi eksekutif ini kehadiran Menara Kembar Petronas ini memaparkan keunggulan seni dan tamaddun nusantara, Melayu itu sendiri khususnya, setanding dengan tamaddun bangsa-bangsa lain yang demikian hebat di dunia.

“Malaysia dan Melayu itu sendiri tidak mungkin bangkit sehingga mampu mencapai kemajuan begini hebat tanpa sejarah dan asas tamaddunnya yang kunuh,” kata Ibrahim apabila menyaksikan demikian ramai pengunjung antarabangsa berada di persekitaran luar dan dalam menara unik ini pagi itu.

Teman dari Banda Aceh itu sebenarnya amat terpegun memikirkan pencapaian Malaysia membangun Kuala Lumpur, menjadikannya sebagai sebuah kota demikian gagah. Dia lebih terpegun lagi melihat pelancung mewakili semua bangsa di dunia berhimpun di sini, di sebuah negara kecil yang mencapai kemerdekaan sepuluh tahun terkemudian dari Indonesia.

Baginya mana-mana pemerintah sebuah negara sedia saja membina menara atau kompleks menarik. Namun untuk menjadikannya sebagai mercutanda yang terus menjadi tumpuan kunjungan masyarakat antarabangsa adalah suatu perkara yang lebih kritikal, terlalu rumit pula.
Bersama teman-teman dari Banda Aceh di kompleks Suria KLCC

Ibrahim tunduk sebentar. Dia menoleh ke belakang mengimbau bumi kesayangannya, Aceh, yang kaya dengan khazanah sumber semulajadi di bawah perut buminya, di belantara dan dada gunung-ganangnya juga di bawah dasar lautnya.

Aceh hampir memiliki segala dalam bentuk melimpah ruah – dari galian emas, batu-batan berharga, bijih besi, arang batu, kristal, minyak dan gas yang tidak pernah putus,meskipun sebahagian dari simpanan gas aslinya telah diangkut, digali dan terhambur keluar.

Eksekutif televisyen berusia 52 tahun ini tetap percaya suatu hari nanti satu generasi baru yang lebih mendahulukan kepentingan ummah akan lahir di bumi Aceh untuk menyelamatkan khazanah kekayaan bumi dan lautnya dari terus diratah semahunya, diselewengkan oleh tangan-tangan yang jahat dan durjana.




No comments:

Designed By