Bagi warga Kuala Lumpur, Menara Kembar Petronas cuma
berdiri sebagai mercutanda biasa yang tidak perlu diperhatikan lagi. Namun bagi
pengunjung luar, terutama pelancong-pelancong antarabangsa sendiri, Kuala
Lumpur City Centre ini punya tarikan yang sangat luar biasa. Tidak sah
kunjungan pelancong ini ke KL sekiranya potret KLCC tidak diabadikan bersama
mereka.
KLCC memang memiliki daya tarik tersendiri. Rekabentuknya
demikian unik. Cahayanya terpancar dari jauh. Ia berdiri megah dikelilingi
menara-menara lain yang sama-sama berseri di tengah-tengah pusat Bandaraya
Kuala Lumpur.
Tiga teman dari Banda Aceh ketika berkunjung ke Menara Kembar Petronas di Kuala Lumpur Sabtu 25 Okt lepas. Dari Kiri Sdr Drs Ibrahim, Penulis Shaharon Salleh, Fauzi Hasyim dan Bpk Hj Nordin Joes. |
Saudara Ibrahim, seorang eksekutif filem dokumentari dari
TVRI Aceh, terpegun agak lama menyaksikan KLCC apabila menyaksikan menara
kembar ini berdiri gagah di hadapannya ketika kunjungan pertamanya ke Kuala
Lumpur Sabtu lalu.
Semua kota-kota besar di seluruh Indonesia telah
dikunjunginya. Banyak monumen dan bangunan-bangun tinggi pelbagai bentuk telah
dilihatnya. Namun Menara Kembar Petronas, yang selama enam tahun memegang rekod
sebagai menara tertinggi di dunia sejak 1998, bagi Ibrahim secara umumnya
menjadi kebanggaan nusantara.
Barisan pelancong dari China berderet berjalanan menuju ke Menara Kembar Petronas pagi Sabtu 1Muharram lepas. |
Sdr Drs Ibrahim bersama Blogger Shaharon Salleh |
Bagi eksekutif ini kehadiran Menara Kembar Petronas ini
memaparkan keunggulan seni dan tamaddun nusantara, Melayu itu sendiri
khususnya, setanding dengan tamaddun bangsa-bangsa lain yang demikian hebat di
dunia.
“Malaysia dan Melayu itu sendiri tidak mungkin bangkit
sehingga mampu mencapai kemajuan begini hebat tanpa sejarah dan asas
tamaddunnya yang kunuh,” kata Ibrahim apabila menyaksikan demikian ramai
pengunjung antarabangsa berada di persekitaran luar dan dalam menara unik ini
pagi itu.
Teman dari Banda Aceh itu sebenarnya amat terpegun
memikirkan pencapaian Malaysia membangun Kuala Lumpur, menjadikannya sebagai
sebuah kota demikian gagah. Dia lebih terpegun lagi melihat pelancung mewakili
semua bangsa di dunia berhimpun di sini, di sebuah negara kecil yang mencapai
kemerdekaan sepuluh tahun terkemudian dari Indonesia.
Baginya mana-mana pemerintah sebuah negara sedia saja
membina menara atau kompleks menarik. Namun untuk menjadikannya sebagai
mercutanda yang terus menjadi tumpuan kunjungan masyarakat antarabangsa adalah
suatu perkara yang lebih kritikal, terlalu rumit pula.
Bersama teman-teman dari Banda Aceh di kompleks Suria KLCC |
Ibrahim tunduk sebentar. Dia menoleh ke belakang
mengimbau bumi kesayangannya, Aceh, yang kaya dengan khazanah sumber semulajadi
di bawah perut buminya, di belantara dan dada gunung-ganangnya juga di bawah
dasar lautnya.
Aceh hampir memiliki segala dalam bentuk melimpah ruah –
dari galian emas, batu-batan berharga, bijih besi, arang batu, kristal, minyak
dan gas yang tidak pernah putus,meskipun sebahagian dari simpanan gas aslinya
telah diangkut, digali dan terhambur keluar.
Eksekutif televisyen berusia 52 tahun ini tetap percaya
suatu hari nanti satu generasi baru yang lebih mendahulukan kepentingan ummah
akan lahir di bumi Aceh untuk menyelamatkan khazanah kekayaan bumi dan lautnya
dari terus diratah semahunya, diselewengkan oleh tangan-tangan yang jahat dan
durjana.