Breaking News

Wednesday, April 30, 2014

KEMBARA ACEH: Indahnya Kehidupan Nelayan Kecil Pantai Meuraksa



 Lerai gelak riang dan ketawa sering memecah di pondok-pondok kecil pinggir pantai Meuraksa (Meraksa) tempat di mana penduduk desa kecil nelayan itu berkumpul setiap pagi dan petang.

Fenomena kehidupan sempit dengan pendapatan yang terlalu sedikit sudah sebati dengan diri ibu-ibu atau anak-anak kecil di desa terpencil ini.



Dua ibu di gubuk kecil di bawah lindungan pohon rhu di pantai Meuraksa, Meureudu, Aceh, berhadapan Selat Melaka.

Semangat bantu membantu kekal diwarisi masyarakat nelayan Aceh.

Perkampungan nelayan pantai ini terletak jauh di sudut mukim Meureudu (Merdu), Pidie Jaya, Aceh. Ia hampir tersembunyi dari dunia luar. Mukim Samalanga brjiran dengan Meureudu.

Pengunjung terpaksa melalui jalan-jalan kecil lima kilometer dari jalan utama lintas Banda Aceh ke Medan untuk menuju ke desa ini. Cuma penduduk tempatan yang mengetahui keberadaan Meuraksa.


Nylayan dan bot-bot mereka yang dibina khas dengan motif Aceh.

Mereka berganding bahu membuat persiapan untuk menarik bot ke darat.

Profil nelayan di antara dua generasi di Aceh
 Kabupaten Pidie Jaya yang menempatkan permukiman Panteraja, Meureudu, Samalanga, Peudada sehingga ke Jempa di Bireun merupakan sebuah jajahan di tanah Aceh yang duduk di bawah kepimpinan Tun Sri Lanang (Bendahara Tun Muhammad) antara 1613 sehingga 1659.

Setelah Johor ditawan pada 1613, Sultan Iskandar Muda, raja Aceh yang tersohor, menghantar Tun Sri Lanang (penulis manuskrip Salatussalatin – Sejarah Melayu) ke Samalanga sebagai ‘Hulubalang’ dan penguasa di rantau Samalanga.

Tun Sri Lanang meninggal di Samalanga pada 1659 dan dimakamkan di Meunasah Lueng, sebuah perkampungan di Samalanga. Cicit-cicit keturunan penulis Sejarah Melayu tersohor itu sampai sekarang masih tinggal di Samalanga.


Ada sesuatu yang mencuit hati. Mereka berkongsi gembira, riang dan tawa sambil menyaksi seorang teman yang bekerja menampal botnya yang bocor.

Tiga ibu dan dua anak kecil digubuk usang.

Keriangan terpancar pada wajah anak kecil Desa Meuraksa ini semasa lensa kamera dihadapkan ke arahnya.
 Sejarah pilu kehadiran tsunami yang menghempas pesisiran Panteraja, Meureudu, Samalangan dan daerah-daerah lain sepanjang pantai timur tanah Aceh ini 26 Disember 2004 dulu sepertikan tidak lagi menjadi igawan ngeri nelayan dan penduduk di pantai Meuraksa hari ini.

Beribu penduduk sepanjang pantai mukim Meuredu, Panteraja, Samalanga dan Peudada maut apabila tsunami menggulung bumi Aceh dulu.

Ketika pantai Meuraksa saya kunjungi pagi itu, kumpulan 20 nelayan hadir di pinggir pantai – melakukan urusan harian – membaiki bot yang pecah dan bocor, menampal jaring yang bocor dan rabak atau mengemaskan peralatan bot yang berselerakan.

Di gigi air tiga nelayan membantu mendaratkan sebuah bot berhaluan tinggi, perahu khusus seni Aceh. Tiga orang ibu berkumpul di pondok usang bawah pohon rhu di pinggir pantai, kumpulan kanak-kanak kecil bermain riang di pasir pantai – suatu panorama yang menceritakan keriangan penduduk di alam Meuraksa.
Nelayan Aceh dalam aksi tersendiri di pantai.
Bekerja sambil bercerita. Demikian kehidupan penuh tenang kaum nelayan.


Speda tua demikian berguna dan amat berjasa untuk seorang penduduk di Desa Meuraksa, Meureudu, Aceh.

Seorang ibu muda dengan dua anaknya di pantai sambil menanti kepulangan suami yang turun ke laut malam tadi.

Nelayan dan perahunya bersama laut yang tenang dan persekitaran alam demikian menyantun.
 
Di pinggir jalan perkampungan kecil menuju ke pantai Meuraksa, penduduk bersantai melihat pengunjung yang datang.
 Musim angin barat baru saja menjenguk pesisiran Sumatra dan nusantara seminggu dua ini. Gelombang dengan alun-alun kecil menampar lembut pesisiran Meuraksa dengan Selat Melaka terbentang luas di depan.


Dua tiga minggu lagi Selat Melaka yang penuh keramat dan menyimpan banyak sejarah perjuangan ummat Melayu di seluruh nusantara bergelut menghadapi penjajahan golongan manusia durjana Barat selama 500 tahun dalam sirah silam, akan berubah dengan pukulan angin kencang dan samudera yang bergelora.

Mampukah nelayan-nelayan kecil ini bertarung dengan gelora Selat Melaka bila angin barat menyunsung keras nanti?

1 comment:

Unknown said...

KERETA SEWA BANDA ACEH & SABANG

Salam... Kepakaran Kami menyediakan perkhidmatan kereta sewa di Banda Aceh, Sabang,Airport & lain2 tempat. Kami juga menyediakan perkhidmatan sewa kereta dgn pemandu ke tempat shopping, melancong dan sebagainya sekitar Banda Aceh. Utk booking
call. +6281263979828
call. +6281263979828
whatsapp +6281263979828

Designed By