Lerai gelak riang dan ketawa sering memecah di pondok-pondok
kecil pinggir pantai Meuraksa (Meraksa) tempat di mana penduduk desa kecil
nelayan itu berkumpul setiap pagi dan petang.
Fenomena kehidupan sempit dengan pendapatan yang terlalu
sedikit sudah sebati dengan diri ibu-ibu atau anak-anak kecil di desa terpencil
ini.
|
Dua ibu di gubuk kecil di bawah lindungan pohon rhu di pantai Meuraksa, Meureudu, Aceh, berhadapan Selat Melaka. |
|
Semangat bantu membantu kekal diwarisi masyarakat nelayan Aceh. |
|
Perkampungan nelayan pantai ini terletak jauh di sudut mukim Meureudu
(Merdu), Pidie Jaya, Aceh. Ia hampir tersembunyi dari dunia luar. Mukim
Samalanga brjiran dengan Meureudu.
Pengunjung terpaksa melalui jalan-jalan kecil lima kilometer
dari jalan utama lintas Banda Aceh ke Medan untuk menuju ke desa ini. Cuma
penduduk tempatan yang mengetahui keberadaan Meuraksa.
|
Nylayan dan bot-bot mereka yang dibina khas dengan motif Aceh. |
|
Mereka berganding bahu membuat persiapan untuk menarik bot ke darat. |
|
Profil nelayan di antara dua generasi di Aceh |
Kabupaten Pidie Jaya yang menempatkan permukiman Panteraja,
Meureudu, Samalanga, Peudada sehingga ke Jempa di Bireun merupakan sebuah
jajahan di tanah Aceh yang duduk di bawah kepimpinan Tun Sri Lanang (Bendahara
Tun Muhammad) antara 1613 sehingga 1659.
Setelah Johor ditawan pada 1613, Sultan Iskandar Muda, raja
Aceh yang tersohor, menghantar Tun Sri Lanang (penulis manuskrip Salatussalatin
– Sejarah Melayu) ke Samalanga sebagai ‘Hulubalang’ dan penguasa di rantau
Samalanga.
Tun Sri Lanang meninggal di Samalanga
pada 1659 dan dimakamkan di Meunasah Lueng, sebuah perkampungan di Samalanga.
Cicit-cicit keturunan penulis Sejarah Melayu tersohor itu sampai sekarang masih
tinggal di Samalanga.
|
Ada sesuatu yang mencuit hati. Mereka berkongsi gembira, riang dan tawa sambil menyaksi seorang teman yang bekerja menampal botnya yang bocor. |
|
Tiga ibu dan dua anak kecil digubuk usang. |
|
Keriangan terpancar pada wajah anak kecil Desa Meuraksa ini semasa lensa kamera dihadapkan ke arahnya. |
Sejarah pilu kehadiran tsunami yang
menghempas pesisiran Panteraja, Meureudu, Samalangan dan daerah-daerah lain
sepanjang pantai timur tanah Aceh ini 26 Disember 2004 dulu sepertikan tidak
lagi menjadi igawan ngeri nelayan dan penduduk di pantai Meuraksa hari ini.
Beribu penduduk sepanjang pantai
mukim Meuredu, Panteraja, Samalanga dan Peudada maut apabila tsunami menggulung
bumi Aceh dulu.
Ketika pantai Meuraksa saya kunjungi
pagi itu, kumpulan 20 nelayan hadir di pinggir pantai – melakukan urusan harian
– membaiki bot yang pecah dan bocor, menampal jaring yang bocor dan rabak atau
mengemaskan peralatan bot yang berselerakan.
Di gigi air tiga nelayan membantu mendaratkan
sebuah bot berhaluan tinggi, perahu khusus seni Aceh. Tiga orang ibu berkumpul
di pondok usang bawah pohon rhu di pinggir pantai, kumpulan kanak-kanak kecil
bermain riang di pasir pantai – suatu panorama yang menceritakan keriangan
penduduk di alam Meuraksa.
|
Nelayan Aceh dalam aksi tersendiri di pantai. |
|
Bekerja sambil bercerita. Demikian kehidupan penuh tenang kaum nelayan. |
|
Speda tua demikian berguna dan amat berjasa untuk seorang penduduk di Desa Meuraksa, Meureudu, Aceh. |
|
Seorang ibu muda dengan dua anaknya di pantai sambil menanti kepulangan suami yang turun ke laut malam tadi. |
|
Nelayan dan perahunya bersama laut yang tenang dan persekitaran alam demikian menyantun. |
|
Di pinggir jalan perkampungan kecil menuju ke pantai Meuraksa, penduduk bersantai melihat pengunjung yang datang. |
Musim angin barat baru saja menjenguk
pesisiran Sumatra dan nusantara seminggu dua ini. Gelombang dengan alun-alun
kecil menampar lembut pesisiran Meuraksa dengan Selat Melaka terbentang luas di
depan.
Dua tiga minggu lagi Selat Melaka
yang penuh keramat dan menyimpan banyak sejarah perjuangan ummat Melayu di
seluruh nusantara bergelut menghadapi penjajahan golongan manusia durjana Barat
selama 500 tahun dalam sirah silam, akan berubah dengan pukulan angin kencang
dan samudera yang bergelora.
Mampukah nelayan-nelayan kecil ini bertarung
dengan gelora Selat Melaka bila angin barat menyunsung keras nanti?