Breaking News

Friday, November 29, 2013

NOTA KEMBARA ACEH: Layeun Yang Tersembunyi

 
Bumi Aceh memang terlalu istimewa. Ia penuh dengan misteri serta menyimpan seribu satu rahsia dan keindahan mempesonakan yang tersembunyi dari pengetahuan dunia.

Dalam ketika seorang pengembara menyeberang dari pulau ke pulau, menjelajah gua dan gunung ganang, menelusuri teluk dan pantai di daerah yang amat luas ini, ia kemudian dikejutkan bahawa beberapa desa terpencil di sepanjang pesisiran pantai barat berhampiran Banda Aceh sendiri menyediakan keindahan demikian menakjubkan.
Kegembiraan anak-anak Desa Layeun memancing ikan di atas batu.
Bot-bot nelayan Layeun menghiasi di persekitaran penuh indah.
Kami singgah di Layeun (bunyi sebeneranya ‘Lion’ mengikut sebutan Inggeris) petang ini. Ia sebuah desa dihuni lebih 40 keluarga nelayan di kilometer 27 jalan Banda Aceh – Meulaboh.

Meski ia terletak di pinggir jalan dan terdedah menghadap lautan lepas, namun Layeun sebenarnya tersembunyi oleh jalan masuk yang menurun sempit; cuma dibarisi oleh pondok dan rumah-rumah nelayan serba dhaif. Lalunya ia hampir tertutup dari dunia luar, malah hampir tidak disedari oleh sebahagian besar dari masyarakat Banda Aceh sendiri.

Demikianpun, Layeun sebenarnya tersembunyi di sebalik persekitarannya yang sungguh memukau.


Bot-bot nelayan tersadai lesu di tengah teluk luas dan di bibir pantai bila Layeun kami kunjungi petang ini. Nelayan tidak turun ke laut malam ini kerana malam ini adalah malam Jumaat. Memang menjadi tradisi nelayan seluruh Aceh sejak hampir 800 tahun dahulu bahawa tidak ada seorangpun di antara nelayan yang harus turun ke laut pada setiap malam atau hari Jumaat.




Nelayan Layeun membaiki perahu tuanya.
Pondok-pondok kecil di puncak bukit penghujung pantai Layeun.

Dari puncak bukit di Desa Layeun dengan pemandangan penuh menggamit perasaan pengunjung. Ia tersembunyi dari pengetahun sebahagian besar masyarakat Banda Aceh dan dunia sendiri.

Keriangan jelas tergambar pada wajah anak-anak nelayan Aceh meskipun penderitaan hidup masih mengikat wilayah ini.
Lima gerai peniaga ikan dan sotong kering membarisi pinggir jalan besar yang menjadi kawasan belakang desa nelayan ini.

Tidak jauh dari pintu masuknya kami melihat seorang nelayan muda sedang membaiki bot kecilnya yang cuma mampu digunakan untuk mencari rezeki di perairan berhampiran pantai.

Layeun terletak di suatu sudut teluk luas Kecamatan Lepung dengan persekitaran dan latar belakang banjaran gunung ganang demikian mempesonakan. Dari pantai kami melihat kabus putih tebal menghiasi banjaran gunung di belakang Layeun.

Bersantai sambil menghjirup kopi di persekitaran penuh mengasyikkan.
Jauh di hujung bekas bongkahan batu yang menjulur 15 meter ke dalam air, kami melihat kumpulan lima kanak-kanak lelaki sedang sibuk memancing di atas batu. Apabila dihampiri kami diberitahu bahawa mereka baru 15 minit tadi menaikkan sekor ikan kerapu seberat hampir 5 kilogram yang terus saja dijual kepada seorang penduduk tempatan dengan harga Rp 80 ribu.

Kami tiba-tiba kehairanan melihat wujudnya jalan bertambak tar di gigi pantai di depan dan di tempat kami berdiri bersama anak-anak nelayan berkenaan petang itu. Seorang penduduk kemudian memberitahu bahawa jalan bertambak tar berkenaan merupakan jalan asal yang menyambung laluan utama Banda Aceh ke daerah-daerah selatan di pantai baratnya. Namun ia putus dan musnah akibat pukulan gelombang keras tsunami yang melanda Aceh dalam tragedi paling mengerikan 26 Disember 2004 dulu.
Di atas tapak jalan lama yang hancur kini akibat terjahan tsunami dalam tragedi penuh ngeri 26 Disember 2004.

Tumbuhan semulajadi yang tumbuh di liring bukit menjadi penghias puncak Ujung Glee (Hujung Gunung) di Layeun,
Dari pantai kami bermotosikal mendaki bukit terletak berhampiran pantai di hujung Desa Layeun. Seorang pengusaha tempatan telah membangunkan kawasan puncak bukit seluas 15,000 kaki persegi ini dari kawasan batu batan dan semak samun kepada sebuah restoran dan tapak peranginan paling intim.

Di samping sebuah restoran yang paling sederhana, puncak yang diberi nama Çafe Ujung Glee ini disiapkan dengan tujuh pondok kecil berukuran 7 X 7 kaki didirikan di pinggirnya. Hiasan tumbuhan liar semulajadi di curam-curam bukit ini di samping landskap yang diatur demikian rupa menghiasi persekitaran pucak bukit istimewa ini.

Persekitaran teluk dan laut yang luas dibarisi dengan banjaran gunung ganang menghijau sertas dua buah pulau kecil dan sebuah pulau yang sederhana besar, benar-benar menggamit hati setiap pengunjung Desa Layeun untuk bersantai di sini selama mungkin.

Sambil duduk bersila menghirup kopi panas dari pondok beratap rumbia lewat petang ini kami menikmati alam dan suasana persekitaran Desa Layeun yang demikian syahdu, menakjubkan.

Langit jelas suram ketika sang matahari merangkak pergi berlabuh bersama malam di persekitaran teluk demikian menawan.
Ombak kecil memukul pantai 20 meter di bawah puncak bukit. Dan jauh di sebalik bukit di hujung sana matahari semakin suram menukar cahayanya, kemerah-merahan, ungu dan gelap. Laungan azan serentak itu berkemundang memecah kesepian langit Layeun.

Dan kini tiba masanya bagi alam serta makhluk yang mengisinya untuk sujud kepada Allah yang menghadirkan semua keindahan ini.
Read more ...

Tuesday, November 26, 2013

KISAH SEORANG SENIMAN TUA

Dia Terus Berkarya
Di Penghujung Usia Tuanya

Pak Shariff menyiapkan hasil reliknya.
KETIKA saya terkial-kial hendak mengangkat setengah guni pasir yang beratnya tidak sampai 30 kilogram, Pak Sharif dengan bersahaja menaikkan ke atas bahunya satu beg simen seberat 50 kilogram tanpa perlu dibantu.

Meskipun usianya sudah menjangkau lebih 64 tahun, Pak Sharif ternyata masih bertenaga, masih lagi mampu membuat kerja-kerja berat seperti orang-orang muda lain.

Sharifuddin Jamil merupakan seorang seniman tulin yang kehebatannya demikian tersembunyi. Namanya langsung tidak dikenali masyarakat umum. Cuma beberapa kerat sahaja dari kalangan arkitek di Kuala Lumpur dan sebilangan kecil kontraktor yang serta klien yang tahu berhubung kehebatan Pak Sharif di dalam kerja-kerja seni lukis relik.

Dia membuat sentuhan terakhir terhadap hasil tiga keping relik yang sedang disiapkannya untuk seorang pelanggan di Ampang Jaya minggu lepas.

Demikian menarik lakaran relik tiga dimensi yang dihasilkan seniman tua Sharifuddin Jamil.
Ketika pelukis-pelukis biasa melontarkan idea masing-masing pada kanvas atau kertas, Pak Sharif cuma berbekal sudu-sudu kecil melarikan tangannya pada simen lembut di atas kepingan batu untuk melakarkan sesuatu lukisan relik yang sudah sekian lama tersimpan di dalam ingatannya.

Lukisan reliknya dalam bentuk dua atau tiga dimensi. Hutan dan rimba, pepohon dengan rimbunan daun tebal, banjaran bukit bukau dan air terjun yang mangalir dari puncak gunung dicoretnya demikian menarik. Tangan dan jejarinya sudah terlalu mesra dengan adunan simen dan pasir halus yang menjadi bahan utama lukisannya.

Sebuah taman kecil dihiasi dengan pondok berukiran batu serta kolam ikan yang demikian menarik menjadi hiasan di bahagian depan rumah Pak Sharif fi Jalan 5, Ampang Jaya, Selangor.

Burung-burung yang berkawan dan mengawan menjadi bahan-bahan yang sering dipaparkannya di dalam relik-relik yang kerap disiapkannya.

Masyarakat umum tidak mengenalinya. Namun dia merupakan tenaga di belakang tabir yang 
bertanggungjawab menyiapkan sebahagian besar daripada kerja-kerja relik dan ukiran-ukiran batu yang menghiasi Taman Burung Kuala Lumpur.

Lukisan reliks sebuah pasu bunga karya Pak Sharif.
Lukisan relik demikian menarik yang menghiasi dinding besar di pintu masuk Hotel Istana di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur juga merupakan hasil kerja tangan seniman tua ini.

Dan setiap pengunjung yang pernah bertandang di Cherating Villa dekat Kuantan juga pasti akan tertarik dengan hiasan mural dan ukiran batu batan yang memenuhi ruangan taman di hotel berkenaan, ukiran yang dihasilkan oleh Pak Sharif dan pembantu-pembantunya.


Ukiran bunga berkembang karya Pak Sharif.
Kemahirannya di dalam seni relik terpancar sejak 45 tahun lepas ketika dia bertugas sebagai pembantu kepada sekumpulan pelukis dan pengukir-pengukir mahir Indonesia menyiapkan kerja pengindahan ibu kota Jakarta.

Dan kini sambil bantu menjaga sembilan cucunya di kediamannya di Jalan 5, Ampang Jaya, Selangor, Pak Sharif masih tidak duduk diam. Hampir setiap hari dia akan membancuh adunan simen dan pasir, memainkan sudu dan sudip-sudip kecilnya melakarkan sesuatu untuk hiasan taman kecil di depan rumahnya.


Jangan lupa singgah sebentar ke teratak Pak Sharif di Ampang Jaya untuk melihat sendiri pelbagai ukiran relik menarik yang dihasilkan oleh seniman tua ini.
Read more ...

Saturday, November 16, 2013

UTUSAN MELAYU SEBENARNYA LAHIR 100 TAHUN DULU

Naskhah Utusan Melayu 1 September 1914 yang kini dalam simpanan penulis.


MENYINGKAP SEJARAH
UTUSAN MELAYU
SEBELUM 29 MEI 1939

Percayakah anda jika saya katakan bahawa akhbar Utusan Melayu telah lahir 30 tahun lebih awal di Singapura sebelum ia diterbitkan melalui sebuah syarikat penerbitan yang dikuasai oleh masyarakat Melayu sendiri?
Yusuf Ishak bekerja keras untuk tubuhkan Utusan.

Akhbar Utusan Melayu digerakkan penerbitannya oleh Yusuf Ishak (orang yang kini mengisi wajah wang dolar Singapura) pada awal tahun 1939 setelah siang dan malam dia berjalan menagih sokongan dan simpati dari orang-orang kaya Melayu, terutamanya dari negeri Johor, untuk membolehkan orang Melayu memiliki penerbitannya sendiri.

Akhbar menggunakan tulisan Jawi dengan nama Utusan Melayu akhirnya lahir dengan naskhah sulungnya diterbitkan pada 29 Mei 1939.

Jabatan pengarang Utusan sejak awal kelahirannya dipimpin oleh Abdul Rahim Kajai, nama paling terkemuka dalam sejarah kewartawanan Melayu. Nama Kajai juga kini mengisi ruang papan tanda sebuah jalan di Taman Tun Dr. Ismail di Damansara, Selangor.
Abdul Rahim Kajai, Bapa Kewartawanan Dunia Melayu

Utusan bersama Kajai dan barisan wartawan-wartawannya merupakan tenaga penting  mencorak minda masyarakat Melayu sebelum merdeka, masyarakat yang lazimnya tunduk dan menjadi pesuruh kepada ‘Tuan Inggeris’ mereka, supaya bangkit mengenal diri sebenar mereka sebagai pemilik asal bumi Semenanjung.

Peranan sebuah media di dalam sesebuah masyarakat adalah demikian penting. Media  menjadi pelantar untuk masyarakat mengumpul pelbagai maklumat berhubung ehwal semasa dan persekitaran mereka, maklumat yang kemudiannya mencetus sikap serta semangat masyarakat berubah dari dari negatif kepada positif, dari malas kepada rajin, dari kumpulan yang pasif berubah kepada masyarakat yang penuh aktif dan agresif.
Melan Abdullah di antara tokoh terkemuka Utusan Melayu

Demikianlah sketsa ringkas di antara sumbangan media seperti Utusan Melayu sendiri kepada masyarakat Melayu di zaman awal 18 tahun sebelum Tanah Melayu bebas dari rantai penjajah, seterusnya setelah negara mencapai kemerdekaan, kemudiannya merangkak, perlahan-lahan, berjalan dan akhirnya mampu berdepan dengan masyarakat dunia seperti sekarang.

Sesungguhnya Melayu hari ini yang semakin kukuh dan perkasa, adalah Melayu yang dahulu yang telah menempuh pelbagai pahit maung dan rintangan, angkatan yang telah berjaya melalui sejuta satu cabaran dan persaingan di bumi mereka sendiri atau yang di luar sana.

Dan Utusan Melayu itu sebenarnya media rasmi Melayu pertama yang diterbitkan dalam bentuk sebuah akhbar, bukan mulai 1939, tetapi mulai tahun 1908 lagi, iaitu 31 tahun lebih awal dari apa yang dicatatkan sebelum ini.

Naskhah awal akhbar Utusan Melayu ini dalam penerbitannya bilangan 1042 bertarikh 1 September 1914 (10 Syawal 1332) menunjukan bagaimana ia diterbitkan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu dan dijual dengan harga 10 sen senaskhah.
Wajah Yusuf Ishak kekal mengisi ruang identiti dolar Singapura.

Ia dicetak dalam empat halaman, tiga darinya berbahas Melayu dengan tulisan jawi, manakala satu halaman di belakangnya dengan ‘UTUSAN MALAYU’ sebagai kepala nama akhbar, berbahasa Melayu menggunakan tulisan rumi dengan ukuran 12 inci  X 15 inci. Singapore Free Press yang dipimpin oleh Walter Makepeace merupakan penerbit akhbar tua ini.

Bahagian belakang Utusan Melayu yang diterbitkan oleh Singapore Free Press.
Namun Utusan Melayu yang terdahulu itu cuma dipenuhi bahan propaganda agensi perisikan British dalam perang saraf mereka menentang pengaruh kebangkitan kuasa Hitler dan tentera Nazi Jerman menjelang Perang Dunia Pertama.

Meskipun ia merupakan media propaganda, namun kehadiran Utusan Melayu di awal-awal abad ke-21 itu membuktikan kemampun sebahagian besar dari masyarakat Melayu di dalam menulis dan membaca, terutama di dalam menguasai tulisan Jawi sendiri, yang mendorong kepada munculnya penerbitan dan pengedaran akhbar tersebut  dulu.

NOTA: 
Selaku pengendali blog ini saya mengalu-alukan sentuhan setiap pembaca di dalam menyampaikan pandangan terhadap tulisan / article di atas. Salam dari Shaharon Salleh.

Read more ...

Wednesday, November 13, 2013

TUN SERI LANANG: KISAH BADANG PERKASA



سبرمولا كدڠرانله ﴿قيصه بادڠ﴾ دسيڠاڤورا.  مك اوله سري رأنا ويكرام دسوروه بڬيندا ڤڠڬيل. مك بادڠ ڤون داتڠ مڠادڤ. مك دليهت باءيك اخلاقڽ. مك دجديكن سنديم.


ستله ببراڤ لما بادڠ منجادي همبا كڤد كباوه دولي بڬيندا كڤد ساتو هاري سري رأنا ويكرام سنتڤ هندق براولم بواه كوراس. دڤرسمبهكن اورڠ دسايوڠ اد سداهن كوراس بربواه. مك دتيتهكن بڬيندا بادڠ ڤرڬي سئورڠ ديريڽ.

ڤراهو ڤيلڠ ڤنجڠ دلاڤن باتڠ كمڤس سڤملوق بسرڽ دڬاله موديق. توجوه كالي  دڬالهڽ سمڤي كتروسن تاجي. كايو ڬالهڽ فون فاته ترهونجم دسان. سمفي سكارڠ فون اد لاڬي يڠ سكرتڽ. دڬالهكنڽ تيڬ كالي سمڤي دهيلير تنجوڠ ڤوتوس. دسان دبواڠكنڽ.

مك دي ڤون سمڤي كسان يڠ لالو دڤنجتڽ كوراس ايت. دڤندڠڽ يڠ بربواهڽ سداهن، مك دڤاوتڽ داهن كوراس. ڤاته.  بادڠ ڤون جاتوه كتانه. كڤلاڽ ترهمڤس كڤد باتو بسر. مك باتو ايت بله دوا. كڤلا بادڠ تياد بله. سكارڠ ڤون اد لاڬي باتو ايت دسايوڠ، دسبوت اورڠ باتو بله . مك داتڠله بادڠ كسيڠاڤورا دڠن ڤيلڠ ايت ڤولڠ هاري سرت دڠن تبو، ڤيسڠ، اوبي، كلادي. بواه كوراس دڤرسمبهكنڽ كڤد سري رأنا ويكرام.

شهدان ڤد سوات ماس راج ممبوات ساتو ڤيلڠ ڤنجڠ ليما بلس دهداڤن استان. ستله سوده، مك دسوروه بڬيندا سوروڠ كڤد مريك امڤت ليما راتوس اورڠ تيدق ترسوروڠ. مك دتيته بڬيندا كڤد بادڠ. مك دسوروڠ اوله بادڠ سام سئورڠ ملنچر لالو كسبرڠ.



Read more ...
Designed By