Breaking News

Thursday, October 10, 2013

KHUTBAH RASULULLAH DI PERHIMPUNAN ARAFAH



 
Khutbah Terakhir Rasulullah S.A.W
Khutbah ini disampai oleh Baginda SAW pada 9 Zulhijjah Tahun ke-10 Hijriyah di Lembah Urainah, Padang Arafah

“Wahai saudara-saudaraku, perhatikan apa yang akan aku sampaikan. Aku tidak tahu apakah tahun depan aku masih berada di antara kalian. Dengan itu dengarkan baik-baik apa yang akan aku katakan. Dan sampaikan ini kepada mereka yang tidak dapat hadir pada waktu ini.

“Wahai saudara-saudaraku, adalah benar kamu mempunyai hak tertentu terhadap isteri-isterimu, tetapi mereka juga mempunyai hak ke atas dirimu.

“Apabila mereka mematuhi hakmu, maka mereka memperolehi haknya untuk mendapat makanan dan pakaian secara layak.

“Perlakukanlah isteri-isterimu dengan baik dan bersikap manislah terhadap mereka kerana mereka adalah pendampingmu dan penolongmu yang setia. Dan adalah hakmu untuk melarang mereka berteman dengan orang-orang yang tidak kamu sukai, dan juga terlarang melakukan perzinaan.

“Wahai saudara-saudaraku, dengarkanlah baik-baik. Sembahlah Allah, solat lima kali dalam sehari, laksanakan puasa selama bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat serta laksanakan ibadah haji apabila mampu. Ketahuilah bahawa kamu sesama Muslim adalah bersaudara. Kamu semua adalah sedarjat. Tidak ada perbezaan satu terhadap yang lain, kecuali ketaqwaan dan amal salih.

“Ingatlah! Satu hari kamu akan mengadap Allah dan akan bertanggungjawab terhadap semua amalanmu. Kerana itu berhati-hatilah jangan menyimpang dari jalan kebenaran setelah kepergianku.

“Wahai saudara-saudaraku, seperti kita ketahui bulan ini, hari ini dan kota ini adalah suci. Oleh itu pandanglah kehidupan dan milik setiap orang Islam sebagai kepercayaan yang suci.

“Kembalikan barang-barang yang dimanahkan kepada kamu kepada pemilik sebenarnya. Jangan kamu lukai orang lain sebagaimana orang lain tidak melukai kamu.

“Ingatlah bahawa kamu akan bertemu dengan Allah SWT dan Dia akan menghitung amalanmu dengan sebenar-benarnya. Allah SWT telah melarangmu memungut riba. Oleh itu mulai dari sekarang ini dan untuk seterusnya kewajiban membayar riba dihapuskan.

“Waspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agamamu. Dia telah kehilangan semua harapannya untuk membawa kalian kepada kesesatan yang nyata. Tetapi waspadalah agar kamu tidak terjebak pada tipuadaya halusnya.

“Wahai saudara-saudaraku, tidak akan ada Nabi atau Rasul sesudahku. Dan tidak ada agama lain yang akan lahir. Oleh itu dengarlah baik-baik-baik wahai saudaraku. Dan fahamilah kata-kata yang ku sampaikan kepadamu, bahawa aku meninggalkan dua pusaka, Al-Quran dan contoh-contohku sebagai As-Sunnah dan bila kalian mengikutinya tidak mungkin akan tersesat.

“Sesiapa yang mendengar perkataanku ini wajib menyampaikannya kepada orang lain, dan seterusnya, dan mungkin yang terakhir mendengar kata-kataku ini akan lebih memahaminya dari yang langsung mendengarkan.

“Demi Allah aku bersaksi bahawa aku telah menyampaikan ajaranMu kepada umatku, ya Allah!”


NOTA KEPADA SEMUA PEMBACA:
Sila sampaikan mesej ini kepada saudara kita yang lain, dan semoga Allah swt akan memberikan rahmatNya . Amin ya Rabbal-Aalamin.

No comments:

Designed By