Prof Korea Bimbang Nasib
Masa Depan Tulisan Jawi
ADALAH sangat mengharukan apabila seorang
pakar penyelidik dari sebuah negara seperti Korea muncul membangkitkan perlunya
Malaysia mengambil langkah memelihara nasib masa depan tulisan Jawi.
Prof Kang Kyoung Seok dari Fakulti Kajian
Luar Universiti Pusan memperlihatkan kerisauannya dengan nasib tulisan Jawi
yang mungkin berkubur dalam dekad-dekad akandatang apabila Malaysia ketandusan tenaga
pakar-pakar Jawi.
Dan lebih menarik lagi bahawa penyelidik
Korea yang sudah 30 tahun menjalankan penyelidikan di UPSI itu beranggapan
bahawa sistem ejaan tulisan Jawi harus kembali kepada ejaan asal yang
digunapakai oleh Zaaba dulu.
Tulisan Jawi menghadapi nasib malang mulai
1965 apabila Kementerian Pelajaran ketika itu (di bawah menterinya, Khir
Johari) membuat keputusan menggugurkan tulisan ini sebagai salah satu pelajaran
dan tulisan pilihan untuk sekolah-sekolah di Malaysia.
Pengaruh
Matlob
Nasib malang tulisan itu semakin menjadi
sangat parah pada 1980han apabila Dewan Bahasa Dan Pustaka, atas pengaruh kuat
dari Matlob, seorang anggota di Jabatan Pengarang Utusan Melayu, mencadangkan
pemakaian ejaan baru bagi tulisan Jawi.
Dan serentak itu buku-buku baru berhubung
tulisan Jawi diterbit, digunakan untuk pendidikan asas tulisan Jawi di
sekolah-sekolah.
Penukaran sistem kepada ejaan baru inilah
sebenarnya yang menjadi titik tolak penting menyebabkan tulisan pusaka Melayu
ini berkecamuk, pudar dan gelap.
Matlob dan badan penggubal ejaan baru Jawi di
DBP dulu beranggapan bahawa pembelajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah akan
menjadi lebih menarik dan mudah jika ejaannya dibuat berasas kepada bunyi dari
suku-suku kata seperti kaedah yang digunakan dalam tulisan Rumi.
Dan apabila perubahan dibuat, lalu
bertukarlah tulisan jawi baru itu menjadi sangat berkecamuk, memualkan.
Dari seluruh kecerdasan otak para pemikir
yang menggubal ejaan baru jawi itu, mereka lupa melihat fakta sejarah penting:
bahawa tulisan Jawi lahir dengan tulisan Arab sebagai induknya. Inilah sumber
dan dan pokoknya.
Tulisan jawi berkembang dan terus hidup untuk
tempoh demikian panjang, lebih 700 tahun lampau, sebagai tulisan dan alat
komunikasi paling berkesan yang telah mencorakkan kehidupan dan peradaban
Melayu.
Tulisan
Komunikasi Raja
Ia digunapakai oleh sistem pemerintahan
raja-raja Melayu dalam semua urusan komunikasi sesama mereka atau dengan pihak
luar.
Kitab-kitab pendidikan Islam untuk ummat di
seluruh nusantara Melayu sejak beratus tahun dulu diterbit, dikembangkan dan
diperluaskan pengajarannya sehingga melahirkan ummat Melayu seluruhnya sebagai
penganut agama Islam, juga melalui tulisan Jawi.
Kitab-kitab agama Islam (dikenali sebagai
kitab kuning) yang diterbitkan menggunakan tulisan dan ejaan Jawi yang sama,
sejak dulu lagi sehingga 1980han, menjadi rujukan dan sandaran untuk pengajian
Islam di sekolah-sekolah pondok di seluruh nusantara.
Dan sehingga sekarangpun, kitab-iktab kuning
ini masih dijadikan kitab utama yang popular penggunaannya di semua sekolah
pondok dari Kemboja, Patani, Semenanjung Tanah melayu, Kalimantan, Sumatra
sehinggalah ke tanah Aceh.
Bahasa Melayu yang digunakan dalam
kitab-kitab kuning ini tetap sama, ejaannya tetap sama, tidak berubah
sepertimana ejaan dalam tulisan yang digunapakai 700 tahun dulu.
Kitab
Lama
APAKAH sebenarnya rahsia yang menjadikan
kitab-kitab yang dianggap kuno oleh sesetengah pihak ini popular dan bertahan demikian
lama, kekal sehingga sekarang meskipun ukuran huruf-hurufnya demikian kecil?
Kitab-Kitab lama ini bertahan sehingga
sekarang kerana ia ditulis menggunakan ejaan lama yang sangat ringkas, mudah
ditulis, senang dibaca.
Jawi asalanya diasaskan dari ejaan dan
tulisan Arab. Kerana itu ia demikian ringkas, seringkas ejaan yang dipakai
dalam tulisan-tulisan Arab tanpa memerlukan pemakaian banyak huruf-huruf kunci
bagi menentukan bunyi sesuatu suku kata atau perkataan.
Secara falsafahnya bahawa bentuk-bentuk
tulisan yang dilahirkan atau digunapakai oleh sesuatu tamaddun itu cuma sebagai
lambang untuk menyebut sesuatu perkataan. Sebaliknya huruf-huruf dari
ejaan-ejaan yang ditulis tidak mengikat bunyi sesuatu perkataan.
Tulisan-tulisan tamaddun antarabangsa – Arab,
Inggeris, Peranchis, Sepanyol, China dan lain-lainnya tidak pernah terikat
dengan peraturan ‘huruf menentukan bunyi sesuatu suku kata’.
Menjadi
Kronik
Cuma Matlob dan para cendikiawan penggubal
Jawi baru di DBP sahaja yang berani bertindak, tanpa jiwa yang benar-benar
telus kemungkinannya, menukar sistem ejaan Jawi sehingga ia menjadi demikian
kronik sakarang.
Dan sejarah mencatatkan bagaimana pemakaian
tulisan Jawi yang sama yang digunapakai dalam masyarakat Jawa beratus tahun
sebelum ini, turut berkubur apabila ia menggunakan sistem ikatan huruf dengan
bunyi suku kata seperti yang dipakai dalam sistem Jawi di Malaysia sekarang
ini.
Lalu tidak hairanlah mengapa Prof Kang Kyoung
Seok, seorang penyelidik yang datang dari negara yang sebelum ini tidak banyak
hubungan sosial dengan orang Melayu, melihat perlunya ejaan Jawi kembali
menggunakan sistem ejaan yang dipakai oleh Zaaba.