Breaking News

Saturday, May 15, 2010

BUPATI TARIK BALIK LARANGAN JANGGUT


Setelah resah tak tidur lina beberapa malam serta terus dihimpit rasa bersalah yang sangat mendalam beberapa hari, Bupati Husin Yusuf akhirnya terpaksa menarik balik larangan menyimpan janggut yang di kenakannya ke atas semua pegawai negeri di Aceh Selatan.

FOTO: Bupati Husin Yusuf tak senang hati dengan pegawai negeri yang tidak menjaga keterampilan diri.

Bupati Husin mengakui tidak mampu menghadapi pelbagai tekanan yang menghimpit dirinya ekoran larangan berjanggut yang dikeluarkannya empat hari lalu.

Dia resah kerana telefon kantor dan kediamannya di Tapak Tuan, Aceh Selatan, terus dihujani panggilan dari seluruh Indonesia selama empat hari ini. Semua panggilan itu menyuarakan kemarahan ke atas arahannya melarang pegawai-pegawai negeri menyimpan janggut.

Dia lebih resah dan tertekan lagi kerana ratusan pesanan ringkas yang diterima melalui telefon bimbitnya menyuarakan kutukan dan pelabagai kata panas terhadapnya bersabit larangan janggut yang dikeluarkannya.

Bupati Husin memberitahu akhbar tempatan, dia samasekali tidak menyangka arahan dikeluarkannya yang melarang setiap kakitangan lelaki dari menyimpan janggut menjadi isu panas.

Husin juga samasekali tidak menduga arahannya itu bertukar menjadi satu polemik yang membangkitkan kemarahan umum di seluruh Indonesia.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan di Tapak Tuan hari ini, Bupati Husin secara rasmi menarik balik arahan berkenaan dan secara terbuka memohon maaf kepada semua pihak di atas keterlanjurannya.

Kata Bupti Hussin, arahan itu dikeluarkan tempoh hari kerana mahukan setiap kakitangan di bawahnya sentiasa rapi dan bersih sesuai dengan konsep Islam yang mengajak umat menjaga kebersihan diri.

Larangan berkenaan tempoh hari kerana Bupati Husin mendapati ramai di kalangan kakitangan pemerintah di Aceh Selatan yang kurang menjaga keterampilan diri mereka semasa bertugas dan berdepan dengan masyarakat.
Read more ...

Friday, May 14, 2010

SANG BUPATI YANG LUCU

Peraturan keras Bupati Husin Yusuf melarang semua kakitangan dan pegawai lelaki Kabupaten Aceh Selatan dari menyimpan janggut dua hari lepas, meledakkan bantahan keras masyarakat di seluruh Indonesia.

Dalam amaran penuh kontroversi itu Bupati Husin berkata, mana-mana pegawai negeri yang barjanggut tidak dibenarkan masuk pejabat, kerana “Ini bukan negara Iran, tapi Indonesia.”


FOTO: Bupati Husin Yusuf terpaksa ditenangkan oleh pihak keselamatan setelah dia marah membuang bajunya sebagai tanda protes terhadap pihak penganjur yang gagal membawa Presiden Susilo Bambang Yudhoyono singgah ke gerai pameran Aceh Selatan.

Peristiwa ledakan kemarahan Bupati Husin ini tercetus di Minggu Budaya Aceh ke IV yang berlansung di Banda Aceh awal Ogos 2009 dulu.

Semua media cetak dan laman-laman portal di seluruh Indonesia, dari Sabang di utara Aceh hingga ke Marauke di timur Maluku, menampilkan berita pelarangan ‘menyimpan janggut’ oleh bupati keras ini, sebagai bahan paling sensasi yang sekaligus mencetus reaksi panas pelbagai pihak.

Tak cukup dengan tokoh-tokoh ulama, persatuan mahasiswa, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin-pemimpin politik, larangan ‘berjanggut’ ini turut menarik komentar dari masyarakat minoriti Kristian di Indonesia.

Siapa yang tidak mengindahkan aturan ini akan saya tindak,” tegas bupati itu
ketika menyerahkan surat perlantikan pegawai-pegawai baru negeri di Tapak Tuan, Meulaboh, baru-baru ini.

Barisan alim ulama di Provinsi Aceh mengecam peraturan baru yang diperkenalkan oleh bupati Aceh Selatan itu kerana bagi mereka, ia adalah secara jelas bertentangan dengan sunnah Nabi Sallahu-Alaihiwassalam yang menggalakan lelaki Islam menyimpan janggut.

Ulama terkemuka Aceh, Sheikh Amran Waly, mahukan Bupati Husin menarik balik arahannya itu serta segera bertaubat.

Ketua Umum Pengurus Wilayah Dewan Dakwah Islamiah Indonesia, Tengku Hasanuddin Yusuf Adan pula menganggap arahan bupati itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana tidak ada satu pun peraturan terhadap pegawai negeri di Indonesia ataupun masyarakat yang melarang kaum lelaki memelihara janggut.

Mungkinkah arahan aneh dan lucu oleh Bupati Husin ini diperkenalkan kerana tidak mahu pegawai-pegawai Aceh Selatan yang berjanggut nanti akan diburu dan dihujani peluru oleh pihak berkuasa keselamatan, lantaran mengesyaki mereka sebagai ‘gembong-gembong’ teroris?

Hal ini sememangnya menjadi suatu tandatanya besar kerana sebahagian dari kumpulan lebih 20 lelaki yang dibunuh dalam operasi pejuang jihad di Aceh Besar Februari lepas, merupakan lelaki berjanggut.

Sehingga semalam pun tiga lelaki, yang dilabelkan sebagai ‘teroris’, diberkas oleh pasokan penggempur khas militer Indonesia (Densus 88) dalam operasi khas di Solo, Jawa Tengah.
Read more ...

Sunday, May 9, 2010

MABUK DIGEGAR GEMPA BUMI

MESKI sudah lebih satu jam ia berlalu, namun tubuh masih lagi terasa berbuai, terhoyong hayang, sepertikan orang yang kemabukan laut setelah sehari dibuai gelombang. Demikian hebatnya kesan yang saya alami apabila melalui goncangan gempa bumi selama tiga minit di Banda Aceh tengahari ini.

Saya sedang menatap monitor komputer tepat jam 1.00 siang tadi apabila kamar yang diduduki tiba-tiba saja bergegar kuat.

FOTO: Suara hati seorang pelukis Aceh yang menggambarkan tragedi ngeri penuh dahsyat apabila tsunami melanggar dan menggulung bumi Aceh dalam bencana mengerikan 26 Disember 2004.

Lukisan ini dan banyak lagi yang lain boleh disaksikan di Muzium Tsunami Banda Aceh.

Masih dengan kain pelekat dan berbaju Melayu Teluk Belanga (pakaian kasual hari minggu), saya berlari keluar. Dalam keadaan terperanjat saya lantas memegang tiang besar dilantai satu, bimbang kalau-kalau tubuh tergolek ke atas lantai lantaran gegaran yang kuat ini.

"Ayuh anak-anak semua. Segera turun," jerit saya sekuat suara yang boleh kepada kumpulan 11 pelajar lelaki yang berehat di kamar-kamar mereka tengahari ini. Tak ramai yang berada di asrama hari ini kerana sebahagian yang lain telahpun pulang ke rumah keluarga masing-masing semalam.

Kami terus berkumpul di bawah di halaman besar pintu masuk asrama.

Gegaran kuat terus berlaku. Bumi Aceh benar-benar digegar dan digoncang. Selama lebih satu minit saya melihat bas sekolah kami di halaman asrama, berayun ke kiri dan ke kanan dibuai goncangan kuat yang memang mencemaskan.

Saya terpegun melihat permukaan air di parit kecil di hadapan asrama kami turut berkocak, berbuai dan berombak kecil.

Tiga pelajar, Safrizal, Mahadi dan Fahrul Razi, yang berada di pinggir sebuah kolam di belakang asrama kami ketika gempa bumi ini berlaku menceritakan bagaimana mereka melihat banyak ikan yang secara mengejut timbul dan bertempiaran lari ke permukaan air apabila gegaran terjadi tengahari itu.

Zulhelmi, pelajar darjah lima yang sedang mengayuh basikal ke asrama dari kampungnya Desa Tinkem di pinggir Banda Aceh, terjatuh ke tebing jalan bersama basikalnya akibat gegaran gempa bumi yang mengejut meledak hari ini. Dia mendapat calar-calar kecil di kaki.

Sementara itu kira-kira 100 penduduk berkumpul di sebuah kawasan lapang dekat pintu masuk menuju ke stesen TVRI Banda Aceh di Ketapang tengahari tadi, sebaik sahaja gempa bumi meletus, kerana bimbangkan kemungkinan berlakunya tsunami.

Dalam kejadian agak mengejutkan tengahari ini ledakan gempa bumi berukuran 7.2 skala Richter berlaku di pesisiran pantai barat Aceh, 60 kilometer dari kota Meulaboh.

Jabatan Geology Republik Indonesia melaporkan bahawa ledakan berlaku di kedalaman 30 kilometer dari dasar laut. Alhamdulillah, gempa kali ini tidak menghasilkan tsunami.
Read more ...
Designed By