Breaking News

Sunday, August 2, 2009

BUDAYA SATUKAN ACEH




HARI MINGGU ini Aceh memperlihatkan dirinya sebagai sebuah negeri yang kaya dengan resam dan budaya.

Pekan Kebudayaan Aceh (PKA) ke 5 yang bermula di Banda Aceh hari ini (Ahad 2 Ogos) mendapat sambutan begitu meriah setiap rakyatnya.

Anda tidak benar-benar mengenali rakyat dan budaya Aceh sekiranya anda tidak menyaksikan perarakan budaya penuh warna warni
sempena minggu kebudayaannya yang paling hebat ini.

Baik yang kecil maupun yang besar, meski yang tua atau yang muda, rakyat dari seluruh Aceh berduyun-duyun datang menyaksikan perarakan kebudayaan ini. Ia memang sangat bermakna bagi rakyat di hujung sebelah utara Pulau Sumatera ini.

Turut menyaksikan perarakan ini beberapa ribu pengunjung luar negara yang bertandang ke Aceh semata-mata untuk melihat dari dekat masyarakatnya dan Aceh itu sendiri, tanah ‘Serambi Mekah’ yang melakarkan demikian banyak sejarah berhubung kebangkitan ummat dan Islam di nusantara Melayu.

Aceh, dalam sejarah lamanya, berselarak dengan ‘Tengku’ dan ‘Hulubalang’ yang kedudukan masing-masing diletakkan sebagai ‘Raja’ dan penguasa bagi kesemua 23 daerahnya. Setiap rajanya mempunyai cara dan adat yang saling berbeza dengan raja yang lain. Maka tidak hairan Aceh memiliki adat resam yang pelbagai rupa.

PKA5 di sini terisi dengan pelbagai acara, meliputi permainan rakyat, persembahan kebudayaan, pertandingan sukan tradisional dan pasar seni Aceh berpusat di Taman Sultanah Safiatuddin yang dipenuhi aneka jualan barangan tempatan. Keunikan ciri-ciri berbagai rumah tradisional Aceh menjadi tarikan utama pengunjung ke Taman Sultanah Safiatuddin ini.

Meskipun acara pembukaan PKA5 oleh Presiden Susilo Bambang Yudhiyono akan berlangsung Rabu 5 Ogos ini, tiga hari terlewat dari tarikh yang dijadualkan, namun perarakan kebudayaan rakyat tetap diteruskan pagi minggu ini.

Penonton menyaksikan lebih seribu gadis Aceh dari semua daerahnya keluar berarak dengan pakaian tradisi serta hiasan seribu rupa, seribu warna. Setiap satunya unik, tersendiri serta amat menarik. Hulubalang dan pendekar-pendekar Aceh juga tampil dengan pakaian pahlawan serba hitam.

Masyarakat seluruh Aceh menyambut meriah kedatangan minggu budaya ini lantaran ia merupakan perhimpunan bererti yang jelas mengeratkan perpaduan seluruh rakyat Aceh.

1 comment:

Arya Taraye said...

"Budaya" itu berasal dari perkataan Sanskrit "Buddhaya".
Kebudayaan yg paling baik dan sihat itu ialah ajaran Budhha.
Demikian maksud "budaya" ini disampaikan.

Designed By