Breaking News

Thursday, August 6, 2009

ACEH PERLUKAN ANWAR IBRAHIM PIMPIN DEMONSTRASI?



Anwar: Paling terkemuka sebagai 'Pemimpin Demonstrasi' dari awal '70hn sampai sekarang.


ACEH memerlukan kehadiran seorang pempimpin 'demonstrasi jalanan' terkemuka seperti Anwar Ibrahim untuk melepaskan dirinya dari cengkaman Jakarta yang masih mengikat wilayah itu dari bebas membangun seperti kebebasan yang dinikmati oleh wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Hal ini ternyata apabila menyaksikan keluhan Gabenor Irwandi Yusuf di Banda Aceh semalam yang menagih simpati Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) supaya pemerintah Indonesia memberi laluan lebih luas kepada Aceh dalam menjalin hubungan dengan dunia luar.

Kehadiran pemimpin seperti Anwar, barangkali, boleh menggerakkan ratusan ribu rakyat Aceh keluar melakukan demonstrasi besar-besaran untuk memberi tekanan kepada Jakarta yang dikira masih terus memperlekehkan 'Memorandum Persefahaman' yang memberi hak kepada Aceh berkerajaan sendiri empat tahun lalu.

Presiden Susilo Bambang Yodhoyono: Mempertahankan keamanan dan perdamaian di seluruh wilayah Aceh wajib hukumnya dan sudah menjadi harga mati.
Media utama Aceh, Serambi, seolah-olah menyokong kuat budaya demonstrasi apabila ia ia memberikan gambaran: "Kuala Lumpur Lumpuh" beserta dua foto besar pasokan keselamatan bertempur dengan 'Tentera Anwar Ibrahim' pada berita utama muka depannya keluaran Ahad 2 Ogos lalu, dalam laporan demonstrasi umum di KL tempoh hari.

Soalnya, apakah nasib seorang pemimpin demonstrasi liar seperti Anwar akan terjamin selamat dan terus diberi kebebasan untuk menggugagat keselamatan negara, sekiranya demonstrasi seperti di KL itu dilancarkan di Indonesia, atau di Aceh sendiri, menyedari bagaimana 20,000 nyawa pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM) gugur diragut oleh peluru-peluru 'militer' tahun-tahun sebelum tsunami dulu?

Irwandi Yusuf cuma mampu merayu sahaja kepada SBY, semasa presiden itu bertandang ke Banda Aceh semalam untuk merasmikan Minggu Kebudayaan Aceh ke-5, meskipun Aceh cuma diberi ruang yang kecil untuk membangun dan bernafas setelah ia membentuk kerajaan sendiri.

Peristiwa-peristiwa 'peluru sasar', mestipun di tempat-tempat terbuka, dan lelaki-lelaki yang disyaki yang diseret keluar dari rumah-rumah mereka di waktu dinihari, kemudian hilang dan tak pulang-pulang lagi, dalam 'gerakan militer' yang semahu mungkin memburu sesiapa sahaja atas nama 'keamanan' tahun-tahun sebelum tsunami dulu, masih segar dalam ingatan Irwandi dan seluruh rakyat Aceh.

Perjuangan menuntut pembebasan dari genggaman Jakarta itu ditanggung oleh seluruh rakyat Aceh dengan hati penuh remuk dan menyayat. Berbelas ribu wanita kehilangan suami tercinta, manakala lebih 20,000 anak-anak kecil mereka terlantar yatim akibat kehilangan ayah.

Dalam ucapan di depan SBY di Stadium H. Dirmuthala, Banda Aceh itu Irwandi menyebut sikap orang Aceh yang tegas, berani dan pantang menyerah, tetapi sangat bersahabat.

Irwndi Yusuf: Orang Aceh tegas, berani dan pantang menyerah.

Meskipun Aceh menerima longgokan besar bantuan antarabangsa untuk membangun rumah-rumah rakyat dan pelbagai kemudahan asas wilayahnya dalam tempoh lebih empat tahun ini selepas buminya hancur digulung malapetaka tsunami 26 Disember 2004, namun Aceh secara umum dilihat sebagai salah sebuah provinsi termundur di Indonesia.

Namun, semua pengalaman pahit di atas menjadi teladan penting kepada Irwandi dan kepada pejuang-pejuang GAM bahawa pembinaan sebuah wilayah yang aman dan bebas dari amukan dalaman lebih penting kepada bumi Aceh dan rakyatnya dalam ketika seluruh jentera pentadbirannya digerakkan untuk membangun bumi dan rakyatnya.

Irwandi Yusuf dan Aceh tidak perlukan barisan 'pejuang atau tentera demonstrasi', seperti barisan yang ditegakkan oleh Anwar Ibrahim, untuk memperjuangkan hak mereka sekarang di bawah negara berdaulat seperti Indonesia.

Dan seperti kata SBY di Banda Aceh kelmarin: "Mempertahankan keamanan dan perdamaian di seluruh wilayah Aceh wajib hukumnya dan sudah menjadi harga mati." Posted by: SHAHARON SALLEH
Read more ...

Wednesday, August 5, 2009

MBAH SURIP MENINGGAL DUNIA



RAKYAT seluruh Indonesia kini bersedih akibat kehilangan penghibur reggae terbaru mereka, Mbah Surip, yang secara mengejut meninggal dunia di Jakarta malam tadi.

Bila Gendang Dipalu dalam posting 28 Julai lepas telahpun membawakan kisah bagaimana Mbah Surip dengan ‘Tak Gendong’, lagu reggae terbarunya, telah melahirkan satu nostalgia baru di kalangan masyarakat seluruh Indonesia.

Mbah Surip, yang dikatakan mengalami serangan penyakit jantung, telah dimasukkan ke sebuah hospital sejak tiga hari sebelumnya akibat kesesakan nafas.

Indonesia mungkin terpaksa menunggu sedekad dua lagi untuk mencari pengganti baru yang setanding dengan Mbah Surip bagi memenuhi selera reggae mereka setelah ia digegarkan oleh seniman dari Mojokerto, Jawa Timur, itu beberapa bulan lepas.
Read more ...

Tuesday, August 4, 2009

MUZIUM TSUNAMI ACEH PESONAKAN DUNIA



BANDA ACEH meletakkan satu mercutanda baru dunia hari ini (Selasa 4 Ogos) ekoran perasmian Muzium Tsunami Aceh yang kini dibuka untuk dikunjungi oleh seluruh rakyat Indonesia dan masyarakat antarabangsa.

Ia merupakan muzium pertama berhubung malapetaka tsunami yang pernah diidirikan oleh mana-mana negara di dunia. Muzium ini terletak di kawasan seluas 10,000 meter
persegi di tengah Banda Aceh dengan pembinaannya menelan belanja $7.5 juta (AS).

Meski dari luar rekabentuk kompleks mizium ini dilihat memaparkan ciri-ciri pembinaan tradisional Aceh, dengan keseluruhan dindingnya berbentuk anyaman dinding buluh, namun pengunjung pasti akan terpukau menyaksikan kehebatan ciri-ciri rekabentuk dalamannya yang hebat dan sangat menakjubkan.

Ia kini boleh diletakkan dalam kumpulan muzium-muzium terunggul di dunia. Kehadirannya kini seakan benar-benar mempesonakan dunia.

Pengunjung dibawa mengimbau sejarah penuh ngeri bilamana gelombang gergasi tsunami melanggar Aceh pagi 26 Disember 2004, sebaik sahaja memulakan langkah pertama memasuki lorong menuju ke arah ruang legar dalam.

Suasana dalam lorong agak sempit ini kelihatan gelap dan suram. Ia dipagari di kanan kirinya dengan dinding batu yang menegak tinggi. Air mengalir pada keseluruhan muka dinding ini seperti mengalirnya air tsunami yang menghempas Banda Aceh hampir lima tahun dulu.

Keluar dari lorong ini, pengunjung terus berada di ruang legar utama di depannya. Di sini terbentang pandangan laut yang terbuka luas. Tiupan angin Selat Melaka dan Lautan Hindi yang siang dan malam memang keras membadai Banda Aceh sekarang, membentuk gelora kecil pada laut buatan di muzium istimewa ini.

Satu jambatan panjang dibina agak tinggi merentasi permukaan laut kecil ini. Hujung jambatan yang curam ini bertemu dengan satu tiang besar dan tinggi, tiang yang menjadi paksi gempa bumi yang menghasilkan terjadinya tsunami. Di puncaknya sepertikan limpahan gelombang yang menjulang tinggi.

Pengunjung akan terus memasuki lorong sempit lain. Di lorong berlingkar ini setiap pengunjung mesti mendakinya ke atas. Tidak begitu tinggi, tapi cukup untuk memberi gambaran bagaimana mangsa-mangsa tsunami terpaksa berlari kencang memanjat pokok, mendaki bukit atau mencari bangunan-bangunan tinggi untuk menyelamatkan diri dari tsunami yang laju memburu mereka.

Muzium ini menempatkan galeri luas memaparkan ratusan foto yang merakamkan pelbagai peristiwa mengerikan, foto sejarah sebenar apabila tsunami melanda Aceh dulu. Dianggarkan dua-pertiga dari keseluruhan 216,000 mangsa tsunami tempoh hari merupakan mangsa-mangsa yang terbunuh dari Banda Aceh sendiri.

Timbalan Gabenor Aceh, Muhammad Nazar ketika merasmikan pembukaannya pagi tadi berkata, beban menyelenggara dan pembiayaan Muzium Tsunami Aceh akan dibantu sama oleh Jakarta dan Pertubuhan Kerjasama Pendidikan dan Sains PBB (UNESCO).

“Janganlah sejarah tsunami yang melanda Aceh dulu dianggap sebagai satu hukuman dari Tuhan. Sebaliknya ia lebih merupakan satu bencana alam. Dan kita harus belajar dari bencana ini,” ujar Muhammad Nazar. Akitek Riduan Kamil bertindak selaku jurureka muzium ini.
Read more ...

Sunday, August 2, 2009

BUDAYA SATUKAN ACEH




HARI MINGGU ini Aceh memperlihatkan dirinya sebagai sebuah negeri yang kaya dengan resam dan budaya.

Pekan Kebudayaan Aceh (PKA) ke 5 yang bermula di Banda Aceh hari ini (Ahad 2 Ogos) mendapat sambutan begitu meriah setiap rakyatnya.

Anda tidak benar-benar mengenali rakyat dan budaya Aceh sekiranya anda tidak menyaksikan perarakan budaya penuh warna warni
sempena minggu kebudayaannya yang paling hebat ini.

Baik yang kecil maupun yang besar, meski yang tua atau yang muda, rakyat dari seluruh Aceh berduyun-duyun datang menyaksikan perarakan kebudayaan ini. Ia memang sangat bermakna bagi rakyat di hujung sebelah utara Pulau Sumatera ini.

Turut menyaksikan perarakan ini beberapa ribu pengunjung luar negara yang bertandang ke Aceh semata-mata untuk melihat dari dekat masyarakatnya dan Aceh itu sendiri, tanah ‘Serambi Mekah’ yang melakarkan demikian banyak sejarah berhubung kebangkitan ummat dan Islam di nusantara Melayu.

Aceh, dalam sejarah lamanya, berselarak dengan ‘Tengku’ dan ‘Hulubalang’ yang kedudukan masing-masing diletakkan sebagai ‘Raja’ dan penguasa bagi kesemua 23 daerahnya. Setiap rajanya mempunyai cara dan adat yang saling berbeza dengan raja yang lain. Maka tidak hairan Aceh memiliki adat resam yang pelbagai rupa.

PKA5 di sini terisi dengan pelbagai acara, meliputi permainan rakyat, persembahan kebudayaan, pertandingan sukan tradisional dan pasar seni Aceh berpusat di Taman Sultanah Safiatuddin yang dipenuhi aneka jualan barangan tempatan. Keunikan ciri-ciri berbagai rumah tradisional Aceh menjadi tarikan utama pengunjung ke Taman Sultanah Safiatuddin ini.

Meskipun acara pembukaan PKA5 oleh Presiden Susilo Bambang Yudhiyono akan berlangsung Rabu 5 Ogos ini, tiga hari terlewat dari tarikh yang dijadualkan, namun perarakan kebudayaan rakyat tetap diteruskan pagi minggu ini.

Penonton menyaksikan lebih seribu gadis Aceh dari semua daerahnya keluar berarak dengan pakaian tradisi serta hiasan seribu rupa, seribu warna. Setiap satunya unik, tersendiri serta amat menarik. Hulubalang dan pendekar-pendekar Aceh juga tampil dengan pakaian pahlawan serba hitam.

Masyarakat seluruh Aceh menyambut meriah kedatangan minggu budaya ini lantaran ia merupakan perhimpunan bererti yang jelas mengeratkan perpaduan seluruh rakyat Aceh.
Read more ...

Saturday, August 1, 2009

PRINCE CHARLES: TELAH ISLAMKAH DIA?




Charles dengan kupiah dan kain putih membalut tubuhnya di suatu majlis berbuka puasa di Oman tahun 1997 (Foto REUTERS).

Dapatkah anda bayangkan bagaimana akan kecoh dan bercelarunya minda serta sistem sosial masyarakat Britain kelak apabila Putera Charles dinobatkan sebagai Raja dalam ketika umum mengetahui dia banyak bercakap mengenai kebaikan Islam?

Media dan gereja-gereja di Britain sejak sedekad lepas memantau rapi setiap pergerakan dan ucapan Putera Wales itu setelah mereka mengesyaki kemungkinan Putera Charles menganut Islam secara senyap-senyap berasakan kepada banyak bukti yang terkumpul.


Media Britain tersentak membaca laporan Gulf News yang diterbitkan di Dubai berhubung perubahan luar biasa Charles ketika berkungjung ke negara Oman pada 1997.

Antara lain laporan itu menyebut bagaimana Putera Charles menghabiskan masa hampir dua jam semata untuk melihat dari dekat nilai-nilai senibina Masjid Sultan Qabus.


Mereka lebih terkejut membaca laporan bagaimana dalam lawatan yang sama Charles duduk bersila menikmati hidangan buah tamar dan jus minuman sebaik sahaja azan dilaungkan di majlis berbuka puasa terbuka dihadiri demikian banyak jemaah, meliputi para kenamaan dari banyak negara semasa di Oman.


Ketika di Oman, Charles turut mengambil masa yang lama menyaksikan pameran seni khat di samping berbual panjang dengan pemimpin Persatuan Kesenian Oman, Taha Al Kisri,berhubung seni khat Islam. Apakah putera pewaris takhta diraja Britain ini cuma seorang penghayat kesenian dan keindahan Islam, atau Charles sebenarnya secara rahsia telah memeluk Islam?

Media dan pengkritik-pengkritik di Britain menurunkan fakta-fakta selanjutnya ke arah menggariskan kemungkinan Putera Charles telah memeluk Islam. Antaranya:-


A. Penganjuran persembahan perdana ‘The Beautiful Names’ (Nama-nama yang Indah) oleh Sir John Tavener bersama Orkestra Simfoni BBC, Kumpulan Koir Simfoni BBC dan Koir gereja Westminster Cathedral yang diadakan di gereja berkenaan pada 19 Jun 2007.

Lagu yang dipersembahkan tertumpu kepada 99 nama Allah dengan sebutannya dalam bahasa Arab serta irama padang pasir yang bersulam irama Hindi. Dan apa yang menjadi tandatanya besar media dan gereja England bahawa persembahan itu dianjurkan oleh pejabat Putera Wales.


FOTO
kanan Charles lengkap dengan pakaian jubah dan bersarban ketika mengunjungi Universiti Al-Azhar, Kaherah 21 March 2006.

B. Charles secara terbuka menyanjung Islam, seperti yang dilakukannya semasa berucap pada perhimpunan pelajar Sekolah Randah Islam di barat laut London, sebua sekolah Islam pertama yang dibiayai kerajaan, bulan Mac 2000. Sekolah agama itu awalnya ditubuhkan oleh penyanyi pop Yusof Islam (Cat Steven) ysnan kini merupakan pengetuanya.

Dalam ucapannya pada pelajar-pelajar di sekolah berkenaan, Putera Charles berkata: “Anda adalah duta-duta bagi sebuah agama yang kepercayaannya sejak sekian lama telah disalahertikan. Saya percaya Islam boleh memberi banyak pengajaran kepada masyarakat yang semakin sekular seperti masyarakat kami di Britain.


C. Banyak pihak di Britain yang terkejut dengan ucapan Putera Charles di Universiti Fatima Jinnah di Rawalpindi, Pakistan , penghujung Oktober 2006. Charles dilaporkan sebagai berkata: “Masalah semasa global boleh diselesaikan dengan mengikuti ajaran Islam kerana ia merupakan agama yang sentiasa mementingkan nilai-nilai keamanan dan persaudaraan.

D. Ketika hadir selaku pemimpin bukan Islam pertama yang pernah diundang untuk berucap di Universiti Imam Muhammad Saud di Riyadh Mac 2006, Charles disebut sebagai berkata:

“Islam telah memperlihatkan ketinggiannya sebagai satu agama yang demikian mementingkan aspek pengetahuan dan kesempurnaan akal. Saya kira masyarakat Yahudi dan Kristian harus memerhatikan apa yang diajarkan oleh Islam.


E. Di upacara yang sama Charles berkata bahawa Islam datang bersama sebuah kitab yang agung dan penuh makna, dan inilah yang boleh disumbangkan oleh masyarakat Islam bukan sahaja kepada Islam, tetapi juga memberikan contoh terbaik kepada generasi terakhir ketutunan Nabi Ibrahim.

Ada banyak lagi fakta yang dikumpul oleh media dan gereja-gereja England berhubung dengan perubahan ketara Putera Istana Buckingham itu yang semakin berjinak dengan Islam sehingga dalam banyak insiden dia dilihat sebagai penyokong utama Islam di dunia Barat.

ATAU secara diam-diam Putera Charles kini ‘gamaknya’ telah memeluk Islam?
Read more ...
Designed By