BANDA ACEH meletakkan satu mercutanda baru dunia hari ini (Selasa 4 Ogos) ekoran perasmian Muzium Tsunami Aceh yang kini dibuka untuk dikunjungi oleh seluruh rakyat Indonesia dan masyarakat antarabangsa.
Ia merupakan muzium pertama berhubung malapetaka tsunami yang pernah diidirikan oleh mana-mana negara di dunia. Muzium ini terletak di kawasan seluas 10,000 meter
persegi di tengah Banda Aceh dengan pembinaannya menelan belanja $7.5 juta (AS).
Meski dari luar rekabentuk kompleks mizium ini dilihat memaparkan ciri-ciri pembinaan tradisional Aceh, dengan keseluruhan dindingnya berbentuk anyaman dinding buluh, namun pengunjung pasti akan terpukau menyaksikan kehebatan ciri-ciri rekabentuk dalamannya yang hebat dan sangat menakjubkan.
Ia kini boleh diletakkan dalam kumpulan muzium-muzium terunggul di dunia. Kehadirannya kini seakan benar-benar mempesonakan dunia.
Pengunjung dibawa mengimbau sejarah penuh ngeri bilamana gelombang gergasi tsunami melanggar Aceh pagi 26 Disember 2004, sebaik sahaja memulakan langkah pertama memasuki lorong menuju ke arah ruang legar dalam.
Suasana dalam lorong agak sempit ini kelihatan gelap dan suram. Ia dipagari di kanan kirinya dengan dinding batu yang menegak tinggi. Air mengalir pada keseluruhan muka dinding ini seperti mengalirnya air tsunami yang menghempas Banda Aceh hampir lima tahun dulu.
Keluar dari lorong ini, pengunjung terus berada di ruang legar utama di depannya. Di sini terbentang pandangan laut yang terbuka luas. Tiupan angin Selat Melaka dan Lautan Hindi yang siang dan malam memang keras membadai Banda Aceh sekarang, membentuk gelora kecil pada laut buatan di muzium istimewa ini.
Satu jambatan panjang dibina agak tinggi merentasi permukaan laut kecil ini. Hujung jambatan yang curam ini bertemu dengan satu tiang besar dan tinggi, tiang yang menjadi paksi gempa bumi yang menghasilkan terjadinya tsunami. Di puncaknya sepertikan limpahan gelombang yang menjulang tinggi.
Pengunjung akan terus memasuki lorong sempit lain. Di lorong berlingkar ini setiap pengunjung mesti mendakinya ke atas. Tidak begitu tinggi, tapi cukup untuk memberi gambaran bagaimana mangsa-mangsa tsunami terpaksa berlari kencang memanjat pokok, mendaki bukit atau mencari bangunan-bangunan tinggi untuk menyelamatkan diri dari tsunami yang laju memburu mereka.
Muzium ini menempatkan galeri luas memaparkan ratusan foto yang merakamkan pelbagai peristiwa mengerikan, foto sejarah sebenar apabila tsunami melanda Aceh dulu. Dianggarkan dua-pertiga dari keseluruhan 216,000 mangsa tsunami tempoh hari merupakan mangsa-mangsa yang terbunuh dari Banda Aceh sendiri.
Timbalan Gabenor Aceh, Muhammad Nazar ketika merasmikan pembukaannya pagi tadi berkata, beban menyelenggara dan pembiayaan Muzium Tsunami Aceh akan dibantu sama oleh Jakarta dan Pertubuhan Kerjasama Pendidikan dan Sains PBB (UNESCO).
“Janganlah sejarah tsunami yang melanda Aceh dulu dianggap sebagai satu hukuman dari Tuhan. Sebaliknya ia lebih merupakan satu bencana alam. Dan kita harus belajar dari bencana ini,” ujar Muhammad Nazar. Akitek Riduan Kamil bertindak selaku jurureka muzium ini.
No comments:
Post a Comment