Breaking News

Friday, March 18, 2016

LOMBOK: KEMBARA YANG TERUS MENGGAMIT




MENGAMBIL pakej tawaran promosi yang disediakan oleh syarikat penerbangan tambang murah tempatan membolehkan anda dan keluarga bercuti ke pelbagai destinasi dalam negeri atau membuat lawatan ke negara-negara jiran dengan bajet sederhana.

Kami sekeluarga terbang ke Lombok awal minggu ini dengan tambang pergi dan pulang di bawah RM 150 seorang, kadar yang sangat rendah untuk destinasi yang memakan masa tiga jam 15 minit.

Merebut kesempatan dari promosi tambang murah enam bulan atau setahun sebelumnya, sediakan belanja secukupnya dan aturkan percutian di tempat kerja seawalnya,  pastinya memberi ruang pada anda dan keluarga untuk menikmati percutian yang sungguh bererti.

Berbanding destinasi agak jauh seperti Jepun, Korea, Taiwan, China, India dan Australia; atau destinasi berhampiran seperti Kemboja, Vietnam, Laos, Thailand dan Indonesia, saya memilih untuk berkunjung destinasi-destinasi menarik di Indonesia sahaja.

Di atas pelantar jetty Vila Ombak kami meninggalkan pulau Gili Trawangan lewat pagi kelmarin.
PUNCAK MALAKA



Dan Lombok demikian menarik perhatian kami berbanding destinasi Indon lainnya lantaran tarikan alam semulajadinya yang anggun, kota serta kehidupan masyarakat serba simple dan sederhana, serta warganya yang penuh ramah dan penyantun. Jiwa dan resmi Melayu lebih banyak terlihat pada masyarakat Lombok; dan inilahlah yang membuat sebahagian besar pelancong Malaysia tertarik dengan pulau ini.

Hampir jam 12 tenghari kami sekeluarga meninggalkan pulau Gili Trawangan, menaiki bot laju kembali ke pulau besar Lombok. Keindahan Gili Trawangan bersama Gili Meno dan Gili Air menggamit perasaan kami.

Dalam perjalanan menuju ke kota Mataram, ibu kota Lombok, kami singgah di puncak Malaka, kawasan indah pinggiran gunung di jalanraya Senggigi. Wow jika di Nanggroe Aceh punya dua tempat yang memakai nama Melaka, kini Lombok juga mengambil nama keramat yang sama.

Puncak Malaka di Jalanraya Senggigi, Kabupaten Lombok dalam kawasan Ranjini Geopark
PASAR RUEK



Saya tidak sempat bertanya panjang berhubung sejarah mengapa nama ‘Malaka’ bertempat di pulau ini, namun pastinya Melaka punya tarikan kuat sehingga Lombok menggunakan namanya. Jika kembali ke Lombok suatu hari nanti akan kita bongkar sejarah sebenarnya, insya-Allah.

Meneruskan perjalanan menanti penerbangan pulang jam 6 petang nanti, kami singgah sebentar di Pasar Ruek. Pasar yang penuh dengan pedagang, peniaga lokal ini menjadi jantung penting yang menggerakkan nadi ekonomi dan sosial masyarakat seluruh Lombok.

Di sini para petani kecil dan besar memasarkan hasil pertanian atau ternakan mereka. Di pasar ini pengunjung luar akan berpeluang melihat sendiri masyarakat Lombok sebenarnya.

Wanita menjadi tenaga utama menggerakan usaha perniagaan kecil di pasar Ruek, kota Mataram, Lombok.

Suasana di pasar Ruek, Mataram, Lombok.

Pasar Ruek, Mataram, Lombok di waktu tengahari.
PONDOK BERATAP ALANG-ALANG


Perut sudah mula terasa lapar. Kami singgah untuk menjamu selera di Nadi Alam Nyaman, sebuah rumah makan yang menyediakan masakan masyarakat Taliwang dari suku kaum Lombok.

Suasana di rumah makan ini menarik sekali. Meski sempit dengan ruang terbatas, namun ia menempatkan dua buah pondok bambu dengan bumbung agak tirus menampakkan karekter Lombok. Terasa dingin di bawah pondok ini yang menggunakan daun lalang tebal (alang-alang) sebagai atapnya.

Terdapat taman kecil serta kolam ikan di bahagian dalam rumah makan ini. 
Sekelilingnya dipenuhi dengan tumuhan hias yang menarik.

Teruja sekali kami menghadapi hidangan makanan dan sama-sama duduk bersila di pondok bambu beratapkan alang-alang. Alangkah meriahnya apabila satu keluarga yang ramai dapat makan ‘beramin’ sepertikan berpiknik dalam suasana begini.

Pondok dengan atap daun alang-alang sebagai ciri identiti Lombok tradisional.

Pondok-pondok beratapkan daun alang-alang menanti untuk dikunjungi pelanggan.



 


Kami menjamu selera dengan lima ekor ayam bakar. Meski saiz ayamnya kecil, namun cukup untuk kami sekeluarga 14 orang. Tempeh dan tauhu serta sayur campur dan pecal pedas Lombok cukup menyelerakan. Harganya juga berpatutan sekitar Rp 500 ribu.

Makan beramin bersama keluarga di pondok dan tamannya yang nyaman.


BENGKEL KERAJINAN

Jika berkunjung ke Lombok anda harus mengambil kesempatan mengunjungi bengkel kerajinan tangan pengusaha tempatan. Kami singgah di bengkel perabut antik Lombok Typical di Cakranegara petang ini.

Bengkel yang sudah berusia lebih 20 tahun ini mengeluarkan produk perabut antik yang disulam indah dengan kulit-kulit siput dan cangkerang laut. Hasil kerja mereka demikian halus dengan bunga-bunga dan lakaran menarik. Kesemua hasil keluaran bengkel ini adalah untuk tujuan ekspot.

Tidak jauh dari bengkel ini kami singgah pula melawat bengkel kerajinan tanah liat yang agak besar. Pelbagai produk pasu serta lain-lain ukiran diperbuat dari tanah liat dikeluarkan oleh bengkel ini, juga untuk tujuan ekspot.
Cucu-cucu saya yang memang meminati kerja seni kraftangan demikian teruja apabila mereka diberi peluang membuat vase kecil sambil dibantu oleh pekerja wanita tempatan yang memang mahir merekacipta hasil kerja tanah liat.

Perabut antik yang dihias dengan bunga-bunga dan ukiran bersulamkan kulit cangkerang dan siput keluaran Lombok Typical Furniture & Antiques di bengkel syarikat ini di Cakranegara, Lombok.

Bahaan kerajinan tanah liat dari sebuah bengkel kerajinan di Cakranegara, Lombok.

Nawra membuat lakaran dalam percubaan membuat sebiji vase kecil dari tanah liat.




Pasu-pasu yang dihasilkan dari bengkel di Cakranegara ini dicipta dalam pelbagai bentuk. Di samping pasu biasa, ada pula pasu yang disalut dengan jalinan jejaring rotan untuk mengindahkan pasu ini. 

Lombok begitu bangga kerana mampu menggembeling setiap tenaga dan kemahiran warga mereka untuk menghasilkan barangan yang secara langsung melonjakkan nilai ekonomi dan pengeluaran penduduk pulau ini.





Nuha berpeluang membuat ukiran tanah liat sendiri sambil dibantu oleh seorang pekerja mahir bengkel ini.

Nawra bersama Nyra yang demikian gembira dapat menghasilkan vase kecil diperbuat dari tanah liat.

Najeeha mencuba kemampuan melakarkan sesuatu pada pasu kecil tanah lkiat sambil diperhatikan ibunya,


Masa untuk pulang sudah tiba. Dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, kami singgah sebentar melihat durian dan rambutan yang dijual peniaga tempatan di pinggir jalan. Jika ikut standard Kuala Lumpur, maka durian yang mereka jaja ini ternyata mahal harganya berbanding dengan mutu isinya.

Apapun, untuk elakkan kempunan, kami dah rasakan durian dan rambutan Lombok. Bulan depan, insya-Allah, boleh kita rasakan nikmat durian Malaysia apabila musim durian tiba nanti.


Memilih durian sambil untuk menguji sejauh mana kehebatan durian keluaran Lombok.

Pak Ngah Zaki di Lombok International Airport sebelum check-in untuk berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
Akan kita telusuri Lombok dengan beberapa catatan kembara lain yang menarik.

Read more ...
Designed By