DRONE MURAHAN
HILANG KAWALAN
Remote control quadcopter
drone murahan RM320, yang saya dapatkan dari pembekal di Bandar Bukit Puchong
tiga minggu sudah, cantik berlegar 40 kaki di udara ketika ujian saya lakukan
di padang bahagian belakang stesen TVRI Banda Aceh pagi ini.
Ujian ini mesti dilakukan
sebelum kamera GoPro kecil dilekatkan pada helikopter empat kipas ini,
bertujuan untuk mengambil timelapse photo atau video dari udara.
Setelah tiga kali terbang
tinggi sehingga 80 kaki ke udara, saya lepaskan lagi drone ini ke paras lebih
tinggi. Terbangnya cantik. Bagus
sekali untuk kerja mengambil gambar dari udara.
Namun, beberapa saat kemudian
drone ini terbang lebih tinggi. Saya memutar batang kawalan kecil pada alat
kawalan jauh di tangan untuk memanggilnya turun lebih rendah. Dia tak mau ikut arahan. Tak mau turun. Malah terbang
lebih jauh lagi. Sudah tidak lagi terkawal.
Drone murahan ini terbang
melangkaui pucuk pokok atas bukit 200 meter di depan sana. Dan akhirnya jatuh
di kawasan rumah berdekatan.
Puas mencari dibantu berepa
anak SD (sekolah rendah) desa Gugajah, Ketapang, melihat kawasan sekitar
rumah-rumah tempat drone ini dikira terhempas. Namun tak jumpa.
“Alhamdulillah, drone kecil
ini tidak terhempas sehingga merosakkan manusia lain.” Atau mencederakan lebih
20 pelajar sekolah rendah yang sedang berlatih main bola di padang terbuka
tadi.
Demikianlah dengan apa jua
permasalahan yang timbul dari urusan yang dilakukan oleh sesiapa juga dalam
projek atau bisnis yang dijalankan. Sekiranya msalah kecil ini tidak dibendung
awal, maka ia akan melarat menjadi masalah besar dan tidak terkawal sehingga
merosakkan semuanya.
Seperti juga dengan 1MDB, yang
fungsi dan tujuan asalnya demikian murni, tetapi kemudian bertukar menjadi
barah kepada negara apabila nakhoda kapalnya melakukan kesilapan, gagal mengemudi
bahtera kerana terlalu seronok dengan angin lembut yang memukul laut luas.
Sang nakhoda memberitahu
anak-anak kapal bahawa bahtera 1MDB mereka berjalan mulus dan tepat menuju
sasaran seperti yang dikehendaki meskipun dia sedar bahawa bahtera besar itu
sudah tersasar jauh.
Dari tujuan asal menuju ke
selatan, akhirnya bahtera 1MDB melarat jauh ke utara pula, berpusing-pusing
sehingga anak-anak kapal berteriak, berontak kerana pulau yang mahu dituju tak
ditemui, bekalan makanan pulak semakin berkurangan.
Dan saya masih bernasib baik
pagi tadi kerana 20 minit setelah pulang ke asrama, lima anak-anak SD Gugajah
yang membantu mencari drone yang terhempas tadi, muncul di pintu pagar asrama
membawa helikopter berkenaan.
Subhanallah! Saya terkedu
melihat peristiwa kecil yang berlaku selama setengah jam ini. Drone yang
meskipun murahan ini tadinya terhempas, hilang dan tak ditemui. Tapi kemudian
ia kembali kepada pemiliknya.
Anak-anak Gugajah ini
berteriak gembira bila pulang kerana pagi ini mereka mendapat hadiah istimewa
pagi minggu.
No comments:
Post a Comment