Breaking News

Thursday, March 24, 2011

PENDEKAR TEWASKAN PAK BELANG


SEEKOR raja rimba di belantara pedalaman Aceh menghadapi saat paling malang minggu lepas apabila dia ditentang sengit dan dimalukan oleh mangsanya sendiri dalam pergelutan hampir setengah jam.
Dalam kejadian pagi Sabtu 19 Mac lepas Panthera Tigris Sumaterae, harimau Sumatera dan Raja Rimba yang paling digeruni di rantau Indonesia, dengan ganas menerkam seorang penduduk kampung yang sedang melalui kawasan sebuah hutan di desa Jabi-Jabi, Kota Subulsalam, Aceh.
Namun, pagi ini pak belang itu bertemu buku dengan ruasnya kerana mangsa yang diterkam dan mahu dibahamnya itu adalah seorang pendekar handalan dari Aceh.
Pendekar berkenaan, Pak Hasan Basri, 53, sedang melintas kawasan hutan di pinggir Jabi-Jabi untuk melihat lukah-lukah perangkap belut yang seminggu lepas dipasangnya di sebuah sungai dengan jarak dua jam perjalanan di pedalaman.
Seperti kelazimannya Pak Hasan berjalan seorang diri pagi itu setelah membantu isterinya melakukan kerja-kerja ringan di sawah. Bertemankan sebilah parang, Pak Hasan melalui lorong-lorong hutan dengan penuh cermat.
Sedang dia melontarkan langkah-langkah kakinya, Pak Hasan tersintak apabila tiba-tiba seekor harimau ganas secara mengejut melompat ke tengah lorong tidak sampai tujuh depa di hadapannya.
Raja rimba dengan tubuh lebih tujuh kaki panjang itu memang terlalu nekad mahu membaham Pak Hasan. Dia terus meluru, menerkam lelaki separuh umur.
Pak Hasan cepat mengelak dari rempuhan dan terkaman sulung pak belang itu. Dia cuba menampar dan mencakar kepala Pak Hasan, tapi pendekar handalan Aceh itu terus menepis tamparan itu dan membalasnya dengan tetakan parang tajamnya.
Pendekar Aceh, Pak Hasan, gunakan kunci mulut dan kunci cakar harimau dalam pertarungan dengan Raja Rimba Sumatera.
Harimau gagah ini terus mencakar dan berusaha untuk membaham Pak Hasan. Tapi cakarannya tidak menjadi dan taring dari gigi-giginya yang tajam juga turut terkunci. Sesekali Pak Hasan dan pak belang ini bergumpal di atas tanah. Namun si raja rimba itu tidak juga mampu mengalahkan pendekar hebat Jabi-Jabi ini.
Sasaran raja rimba Sumatera itu pagi ini memangnya tidak mengena. Kerana Pak Hasan yang mahu dibahamnya itu bukan sahaja seorang pendekar tangkas, tapi juga punya kemahiran istimewa lain – mampu mengunci mulut dan cakaran harimau. Dia juga sangat mahir dengan seni silat Tari Bihayat (tari harimau).
Meski nafasnya cungap mencungap, kelelahan bertarung selama hampir setengah jam, tetakan bertalu-talu yang dilakukan Pak Hasan dengan parang tajamnya ke arah kaki-kaki depan penyerangnya itu, berjaya mencederakan harimau itu sehingga tidak bertenaga lagi itu meneruskan serangannya ke arah petani desa ini.
Melihat pemangsanya lemah dan tercedera, Pak Hasan perlahan-lahan mengatur langkah. Berundur. Dia berjalan pulang ke belakang dengan dadanya tetap mengarah ke hadapan pak belang itu. Dia tidak mahu pak belang itu menyerangnya dari belakang.
Baju dan seluar Pak Hasan koyak rabak. Lengan, dada, tubuh belakang dan punggungnya juga turut calar balar akibat cakaran si raja rimba itu. Namun Pak Hasan bernasib baik kerana kecederaan yang dialaminya tidak begitu serius.
Dalam keadaan tubuh yang lemah dan longlai Pak Hasan berjalan pulang sehingga selamat sampai menemui isteri yang menunggunya.
Dan mulai sekarang Pak Hasan tidak lagi berani memasuki kawasan hutan yang menjadi gelanggang pertarungannya dengan raja rimba Sumatera itu kerana takut ia akan diserang lagi oleh pak belang.
Petikan kisah dari akhbar Prohaba, Aceh
Read more ...
Designed By