SI MEOW MELURU
TERCIUM HERBA
KUCING GALAK
Penangan pokok ‘kucing galak’ memang luar biasa. Kami
berbual rancak berhubung dengan khasiat herba tempatan sambil menghirup kopi di
restoran Mee Bandung, Tmn Sarada di Sungai Ramal Dalam malam tadi.
Saya terperanjat besar melihat tiga ekor Sang Meow secara
mengejut menyerbu meja kami setelah tidak sampai tiga minit Tok Batin meletakkan dua ranting kecil
tumbuhan yang sudah kering di atas meja kami.
Jimmy, si meow yang menguasai persekitaran Restoran Mee Bandung di Taman Sarada, Sungai Ramal Dalam, Kajang, penuh bersemangat mengunyah akar kucing galak. |
Tok Batin (Abdul Majid), pemuda berasal dari Perlis,
menyuruh saya membawa pulang tumbuhan kering ini untuk saya rebus dan minum
airnya.
Terasa agak kesal bahawa tawaran Tok Batin ini tidak saya pedulikan setelah melihat sendiri Jimmy,
taiko di antara tiga ekor kucing yang mengelilingi meja kami, tiba-tiba
melompat ke atas dan terus memakan akar tumbuhan ini.
Jimmy terus makan akar halus itu meskipun giginya
tidak dicipta untuk memakan tumbuhan atau rumput, sehingga akar tersebut licin
dalam masa empat minit.
Akar kucing galak segar dari pokok yang baru dicabut menjadi rebutan kucing-kucing. |
Setelah akarnya bersih dia beralih pula memakan daun
kering tumbuhan istimewa itu tanpa memberi peluang kepada dua rakan di bawahnya
untuk mendapatkan bahagian mereka.
Demikian tarikan tumbuhan Kucing Galak yang memang
luar biasa ke atas makhluk yang bernama kucing. Apabila dihidu akar dan daunnya
tidak mengeluarkan bau yang kuat seperti kunyit, serai wangi, mempoyang dan
tumbuhan seumpamanya.
Namun bagi sang meow tumbuhan ‘kucing galak’ ini memiliki
daya tarikan paling istimewa sehingga apabila daunnya diramas atau akarnya
terdedah pada udara, mereka segera mengihidunya dan akan mencarinya.
Bagi si meow yang lemah dan diserang penyakit,
tumbuhan kucing galak menjadi ubat paling mujarrab untuk mereka. Jika sebelah
malam ia memakan tumbuhan ini, maka lazimnya pagi esok ia akan kembali segar,
pulih seperti semula.
Habis akar dan daun kering Tok Batin mencabut sepokok lagi tumbuhan kucing
galak ini di belakang pondok restoran ini. Jimmy terus mengunyah akar tumbuhan segar
ini penuh selera.
Jimmy puas setelah dapat meragut akar herba kucing galak malam ini. |
Dunia perubatan herba belum mengetahui dengan jelas
apakah sebenarnya rahsia khasiat yang tersembunyi di sebalik tumbuhan istimewa
ini. Namun, apa yang kita saksikan bahawa si meow akan demikian galak apabila
dapat memakan akar atau daun kering tumbuhan yang diberi nama ‘kucing galak’
ini.
Tok Batin pula memberitahu bahawa daun basah kucing
galak boleh diblender dan airnya baik sekali untuk dijadikan ubat batuk.
Akarnya yang direndam dengan air panas dan dibubuh
sedikit garam bagus diminum terutama untuk mengubati penyakit radang atau ‘ulcer’
mulut.
Betuk dan saiz daun kucing galak sepertikan daun
bayam. Ia tumbuh liar di kawasan pamah dengan rata-rata sebatang pokok mencapai
ketinggian 70 sentimeter.