SAMASEKALI tidak
sia-sia kunjungan kami ke Desa Lambaro Biluy di Kabupaten Darul Kamal, Aceh
Besar pagi ini. Di desa yang berlatar-belakangkan sawah dan gunung menghijau di
pagi lembut ini pelajar-pelajar dari Rumah Anak Yatim Melaka – Tsunami Aceh (RAYMTA)
menemui kelompok lima makam tua yang dipercayai berusia lebih 600 tahun.
Kami menyertai
misi Masyarakat Peduli Sejarah Aceh (MAPESA) dan Centre for Information of Samudera
Pasai Heritage (CISAH) membongkar sejarah Darul Kamar, sebuah kerajaan Islam
yang pernah wujud di Aceh Besar pada awal kurun ke-15 dulu.
Pekan Biluy
menjadi pusat kerajaan Islam Darul Kamar suatu ketika dulu. Ia merupakan hulu
sungai yang mengalir melalui Montasik sebelum menembusi Kuala Sungai Aceh
menuju lautan lepas sejauh 20 kilometer.
Pelajar RAYMTA bersama anggota Mapesa di kawasan makam lama Desa Lambaro Biluy, Aceh Besar |
Lima pelajar
asrama RAYMTA: Shamsudin, Amrizal, Jamal, Ikram dan Asnawi menyertai kumpulan pakar
penyelidik khat Arab & Parsi, arkeologi dan seni ukir purba dari Mapesa dan
Cisah pagi ini apabila kumpulan lima pesara tua ini ditemui di Lambaro Biluy
yang menempatkan sama lebih sertus pusara lain dalam berpuluh kelompok kecil secara
berselerak di desa ini.
Tulisan pada
batu-batu nisan yang mengisi makam raja, ulamak, bangsawan dan orang besar kerajaan
Darul Kamar di Biluy kebanyakannya memiliki ciri ukiran dan bahan yang
dikenalpasti bermula sejak kurun ke-16. Namun lima pusara tua di sudut pagar di
pinggir jalan kebun berisi empat rumpun pisang, batang-batang kelapa dan
beberapa pokok lain ini, demikian istimewa.
Dua batu nisan yang memiliki ciri kerajaan Islam Lamuri Aceh yang kami temui di satu sudut sebuah kebun di Desa Lambaru Biluy. Batui nisan kiri menunjukan ukiran huruf 'sin' pada bahagian bawahnya. Di sebelah kanan pula batu nisan dengan ukiran kerawang melalui pengaruh Hindi dan China.
Meski beberapa huruf Arab nyata tertulis pada satu paparan kecil batu ini, namun ukiran bunga kerawangnya yang dipercayai memiliki pengaruh Hindi dan Cina, memenuhi keseluruhan hisan ukirannya.
Ahli arkeologi
Dedi Satria memberitahu bahawa nisan tua Lambaro Biluy ini sama umurnya dengan
nisan-nisan tua lain yang ditemui di tapak bersejarah Kerajaan tua Lamuri di
Krueng Raya, 30 kilometer dari Darul Kamal.
Dikhabarkan
bahawa ratusan tahun dulu kerajaan Darul Kamal telah membina sebuah pelabuhan di
Pekan Biluy sehingga membolehkan kapal-kapal kecil mudik hingga ke sini melalui
sungai yang dikira besar sehingga membolehkan air masin mampu melempah ke
kawasan ini. Menurut penduduk setempat sehingga sekarangpun air dari perigi-perigi
yang terdapat di lembah Biluy masih terasa payau, dipercayai oleh kemasukan air
masin yang berlaku dulu.
Pengaruh Islam
demikian besar di Darul Kamal sehingga membolehkan beberapa pondok pengajian
agama didirikan di setiap kampungnya. Dikatakan bahawa Darul Kamal sebelum ini
juga telah melahirkan tokoh-tokoh ulama terkemuka. Di antaranya termasuk
pengarang kitab Tajul Muluk (asalanya dari kitab Parsi diterjemahkan ke dalam
bahasa Melayu) yang dikatakan berasal dari Biluy pada awal kurun ke-16.
Minggu depan,
insya-Allah kami akan turun lagi menelusuri kampung-kampung lain di Aceh Besar
untuk membongkar banyak lagi sejarah terpendam di Tanah Serambi Mekah ini.