Breaking News

Thursday, July 4, 2013

CATATAN GEMPA ACEH

Setengah jam sebelum gempa: 
Lembu, Kerbau Tercacak Ekor Lari Meninggalkan Kota

Seperti biasa saya bersantai dulu dengan secawan kopi setelah selasai pemeriksaan immigresen dan kastam apabila tiba di lapangan terbang Sultan Iskandar Muda  (SIM), Banda Aceh.

Pesawat dari Kuala Lumpur pagi ini, Rabu 3 Julai, penuh sesak dengan penumpang; 75 peratus dari mereka warga Aceh sendiri. Penumpang luar sebahagiannya dari Malaysia, China, Korea dan sekerat dua pelancong bulek (mat saleh).

Kesan dari gempa 6.2 skala Richter yang menggegar pergunungan Takengon, Aceh Tengah pada siang Selasa lepas.
Saya menjangkakan lapangan terbang SIM akan sibuk pagi ini – mengambil kira gempa mengejut yang menggegar Kabupaten Aceh Tengah dan Bener Meriah siang selasa kelmarin. Namun jangkaan saya meleset.

Suasana di lapangan terbang ini biasa saja. Tak terlihat mana-mana pasokan penyelamat luar yang datang untuk membantu Aceh yang dilihat kini terpaksa menghadapi sendiri petaka terbaru ini.

Dalam teksi saya bertanya dengan pemandunya, Idris, berhubung gempa yang lebih tepat menggoncang kawasan pergunungan Takengon itu.

“Agak parah pak,” ujar Idris dan terus menyambung:

“Tapi tidak separah apa yang Aceh alami bila gempa dan tusnami menggempur Aceh sembilan tahun dulu.”

Idris masih teringat lagi bagaimana dia terpaksa memanjat sebatang pokok besar berhampiran kontor jabatan pencen di Taman Sari, Banda Aceh, pagi 26 Disember 2004 itu.

Dia sudah berada di pejabat jam 7.00 pagi itu untuk bersiap-siap mengambil satu rombongan pegawai pemerintah di lapangan terbang SIM.

Namun ketika sedang bersantai minum kopi bersama seorang rakan petugas lain di kantornya awal pagi itu dia terperanjat apabila melihat barisan lembu, kambing, kerbau dan anjing, tanpa diketahui dari mana datangnya, tiba-tiba berduyun-duyun, bertempiaran lari memenuhi jalan-jalan besar di tengah kota Banda Aceh.

“Kami tidak tahu pak dari mana mereka datang. Tapi yang kami lihat sapi, kerbau, kambing dan anjing-anjing itu berlari keras dengan ekor tertegak ke atas.

“Saya dan teman saya ketika itu memang hairan sekali melihat apa yang berlaku pada haiwan-haiwan ini pagi minggu itu,” cerita Idris.

Peristiwa sang kambing, kerbau, lembu dan sang anjing berduyun lari keluar dari tengah kota pagi itu cuma disaksikan oleh Idris dan rakannya serta sebilangan kecil sahaja dari penduduk Banda Aceh.

Namun, setengah jam kemudian baru Idris dan rakannya tersintak penuh kengerian apabila Aceh pagi itu dikejutkan dengan dua ledakan gempa besar berukuran 9.2 skala Richter, ledakan yang menyebabkan munculnya gelombang besar tsunami paling ngeri pernah disaksikan oleh rakyat Aceh dan dunia.

Tanah Aceh lumat dan musnah diganyang tsunami dalam peristiwa demikian ngeri itu. Lebih 250,000 rakyat Aceh maut digulung, diratah tsunami.

Idris dan rakannya terselamat dari dibaham tsunami setelah mereka memanjat sebuah pokok tinggi di Taman Sari.
Read more ...

GEMPA BERULANG MENGGONCANG ACEH



Agusrianda Merangkak Keluar
Dengan Kaki Terputus Sebelah


Bumi Aceh terus panas dan menggelegak diancam ledakan gempa demi gempa.
Jika lazimnya kawasan sekitar Aceh Besar, Banda Aceh dan kawasan-kawasan lain sepanjang pesisir pantai barat provinsi ini menjadi sasaran, kini kawasan tengah bumi Aceh yang dikelilingi gunung-ganang digegar gempa mengerikan.

Gempa yang menggegar daerah pergunungan Takengon di Aceh Tengah semalam (Selasa 2 Julai) meragut sekurang-kurangnya 42 jiwa, manakala banyak lagi mayat mangsa dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang ranap dalam peristiwa mengejut siang semalam.

Suasana menyayat di sebuah rumah sakit di Kabupaten Aceh Tengah siang Rabu apabila mangsa-mangsa dikejarkan untuk rawatan setelah gempa bumi menggoncang pergunungan Takenogon Selasa kelmarin.
Diantara kejadian paling menyayatkan terjadi apabila sekumpulan berbelas kanak-kanak yang sedang mengaji dan bermain di bangunan masjid dua tingkat di Desa Blang Mancung Atas, Kecematan Ketol, tertimbus bersama runtuhan masjid yang ranap akibat gempa kelmarin.

Di tengah-tengah suasana kelam-kabut penduduk terpegun melihat seorang dari belasan kanak-kanak terbabit, Agusrianda merangkak keluar dari timbunan batu-batu di masjid berkenaan dengan sebelah dari kakinya terputus.

Suara raung dan tangisan oleh penduduk yang kehilangan anak-anak serta ahli keluarga masing-masing memecah kesunyian pergunungan Takengon, sebuah kawasan tanah tinggi dan dingin yang terkenal dengan pengeluaran kopi arabica Gayo dan sayuran segar.

Merskipun gegaran kelmarin cuma berukuran 6.2 skala Richter, namun gegaran berkenaan meledak dari paras 10 kilometer ke dalam bumi, menggegar tepat di kawasan pergunungan Takengon di Kabupaten Aceh Tengah dan Kabupaten Bener Mariah.

Hampir seratus penduduk dari kedua-dua kabupaten mengalami cedera parah manakala bartus yang lain mendapat cedera ringan.

Gempa ngeri ini turut meranapkan tidak kurang dari 500 kediaman dan bangunan-bangunan awam, manakala lebih seribu rumah penduduk turut mengalami pelbagai kerosakan.
Penduduk terpaksa bergelap sepanjang malam kelmarin selepas gempa apabila semua hubungan letrik terputus. Usaha mencari mangsa-mangsa yang tertimbus juga terpaksa dihentikan apabila kegelapan menyelubungi Aceh Tengah dan Bener Meriah.

Pihak berkuasa Provinsi Aceh siang tadi menggerakan seluruh jentera penyelamat dan perubatan ke kawasan pergunungan Takengon untuk mencari mangsa-mangsa yang dipercayai masih tertimbus di dalam runtuhan.
Read more ...
Designed By