Breaking News

Sunday, April 20, 2008

SOROTAN SEMASA

KEJUTAN-kejuatan yang terjadi hasil PRU12 pada 8 Mac 2008 memaksa saya kembali memantau gelodak politik Malaysia secara lebih dekat. Suasana politik negara yang hambar selama empat tahun sebelum ini tidak meruntun banyak pihak, terutama golongan rakyat biasa, untuk ambil pusing dengan suasana tidak teransang yang semacam lumrah dan biasa.



Tidak berlaku sebarang kejutan di dalam UMNO dan Barisan Nasional selama ini. Lalu masyarakat tidak terpanggil untuk ambil pedulu terhadap mereka. Kejutan yang ada banyak berkisar mengenai khabar 'korapsi kuasa' dan 'pembolotan kontrak-kontrak besar' yang dikatakan dimonopoli keluarga tok perdana menteri, tok timbalannya, atau rakan-rakan rapat dan kroni bapak-bapak menteri. Ini sangatlah memualkan.



Rakyat cuma sering dikejutkan dengan berita kenaikan harga barang-barang keperluan harian, berhubung kemungkinan akan naiknya harga minyak petrol dan disel, kenaikan tarif letrik dan air yang nantinya bakal dibebankan kepada pengguna.



Bapak-bapak menteri di dalam kabinet Abdullah Ahmad Badawi selama ini sangat digeruni oleh rakyat bawahan, khususnya di kalangan rakyat yang tak cukup berbelanja, tak mampu melancong dan berjalan.



Paling digeruni oleh semua selama ini ialah Samy Vellu, presiden MIC yang sejak lebih sedekad lalu berkuasa penuh ke atas pembinaan lebuhraya melalui Kementerian Kerjaraya dan Kemudahan Awam yang dipegangnya. Bahawa rakyat bawahan yang tidak berpunya takut tarif tol di setiap lebuhraya pasti akan melompat tinggi selepas pilihanraya nanti.



Orang-orang kampung dan rakyat biasa pula ramai yang gelisah "Apa yang akan jadi pada anak-anak remaja mereka?" dalam ketika RTM dan semua stesen radio dan television negara lebih tertumpu ke arah mengajak anak-anak muda kepada berhibur, berleka dan berfoya-foya, berbanding usaha mencernakan remaja dengan akhlak cemerlang dan pekerti terbilang.



Kegelisahan rakyat terus memuncak apabila kejadian rompak, samun, sambar dan ragut terus menjadi-jadi setiap pagi, petang dan malam di semua kota dan bandar. Bahu-bahu jalan di seluruh tanahair sepertikan sudah tidak selamat lagi bagi kaum ibu, wanita dan anak-anak untuk berjalan dan berpergian tanpa iringan pengawal.

Kepimpinan kita terlalu lemah untuk berhadapan dengan isu-isu besar serantau, apalagi di peringkat global. Mereka dilihat cuma bertungkus lumur bekerja dan merancang projek-projek mega yang pengagihan kontraknya berputar dikalangan kerabat dan kroni sendiri sahaja.

Negara kita dalam tempoh empat tahun lepas dibimbing dalam keadaan terumbang ambing. Negara dalam tempoh tersebut dilihat telah diteraju tanpa paksi yang padu, tanpa hala tanpa tuju. Ke mana negara hendak dibawa, rakyat tidak mengerti, tidak tahu. Kerajaan cuma dilihat mahu membina pentadbiran yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Namun, apa yang berlaku dan matlamat yang hendak dicapai jauh dari apa yang diharap dan dilaungkan. Semua prinsip yang dilaungkan itu kian hari kian pudar, padam dan tenggelam dalam suara tok perdana menteri yang semakin hambar dan tidak bermaya.

UMNO sebenarnya lesu di tahun akhir menjelang PRU 12. Ahli-ahli parti tidak berminat dengan kerenah kepinpinan pusat, negeri dan bahagian yang seperti tidak memperdulikan kebajikan ahli di peringkata bawahan. Semangat orang bawah untuk mempertahankan parti, memperjuangkan kemenangan BN, sudah lama mati, jauh sebelum 8 Mac lepas.

Dalam ketika calon-calon parti kerajaan ghairah mencongak kerusi empok mana yang hendak diduduki selepas pemilihan 8 Mac, orang-orang bawahan parti dan rakyat biasa pula menimbang dan membilang setiap kejelekan dan keburukan yang dilakukan pemimpin yang mereka harap akan mempertahankan kepentingan rakyat, terutama di dalam berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang-barang. Keputusannya jelas dengan tumbangnya lima negeri, sementara empat menteri pusat (termasuk Samy Vellu dan Zainuddin Maidin) tersungkur menerima hukuman rakyata dan pengundi.

Apa yang mesti ditunggu lagi? Angkatlah kaki kerana masa untukmu beredar telah sampai kini.
Read more ...
Designed By